Carian
Teknologi Terbaik Amanz 2024
December 31, 2024 Penulis Tamu

Kamu sudah menerbitkan artikel untuk telefon pintar terbaik dan telefon pintar nilai terbaik menurut pendapat editor Amanz. Tetapi teknologi tidak terhad kepada telefon pintar sahaja. Maka kami ingin berkongsi pula senarai teknologi terbaik sepanjang tahun ini. Ia terbuka kepada perkakasan fizikal, perisian AI, komputer riba, jam tangan pintar dan bermacam-macam lagi.


Google Circle to Search – Effi Saharudin

Google Circle to Search ialah aplikasi perlu untuk tahun 2024 mengalahkan pelbagai aplikasi gimik AI yang hanya akan digunakan beberapa kali setahun. Ianya sangatlah berguna ia menyebabkan saya enggan menggunakan iPhone tahun sebagai peranti harian kerana tiada ciri yang sama pada peranti iOS.

Ia boleh digunakan untuk melakukan carian berbalik gambar-gambar yang tular di media sosial. Dalam zaman edan ini kita tidak boleh mempercayai apa yang ditemukan di internet. Periksalah 8-9 kali terlebih dahulu sebelum disebarkan ke sanak saudara. Proses melakukan pengesahan ini dipermudahkan 1000 kali ganda dengan Circle to Search. Bukan itu sahaja proses mencari produk untuk dibeli juga semudah melakar bulatan pada skrin.

Mencari tajuk lagu di kedai kopi? Gunakan Circle to Search. Melakukan alih bahasa gambar di Reddit? Gunakan Circle to Search? Mencari lokasi kedai makan dalam Instagram? Sekali lagi gunakan Circle to Seaec. Ia satu-satunya aplikasi dengan kemampuan AI yang saya gunakan lebih daripada 20 kali sehari dan kini menjadi ciri yang saya rasakan mandatori pada peranti Android. Jangan beli peranti Android yag tiada sokongan Circle to Search kerana anda akan terlepas menggunakan inovasi terbaik 2024.


Huawei TruSense System – Amy Maizura

HUAWEI Watch GT5 Pro

Ringkasnya apabila usia meningkat kesihatan merupakan antara yang penting. Justeru itu, saya memilih Huawei TruSense Sytem sebagai teknologi terbaik pada tahunan 2024. Ia boleh dikatakan menonjol dengan ciri-ciri kesihatan yang canggih pada tahun ini. Saya sendiri melihat pelancarannya di China tempoh hari, di mana penambahbaikan kualiti yang berterusan dilakukan bagi tujuan meningkatkan ketepatan pengukuran data kesihatan.

Melaluinya data boleh diproses sebanyak 15% lebih baik dengan kemampuan mengurangkan kehilangan isyarat sebanyak 20%. Ia termasuklah keadaan bacaan kurang optimum seperti senaman kardiovaskular seperti berlari, berbasikal, berenang serta lompat tali dalam suhu rendah. Ia juga boleh mengukur lebih 60 penunjuk kesihatan dan kecergasan yang meliputi enam sistem badan manusia. Dalam masa sama mampu menilai tahap emosi, misalnya seperti fungsi Emotional Wellbeing Assistant pada Huawei Watch GT5 yang memaparkan emoji “Pet Panda” comel bagi berkongsi mengenai emosi pengguna.

Proses ukuran kadar oksigen dalam badan (SpO2) kini 40% lebih pantas dan boleh dibuat dalam hanya 15 saat berbanding 24 saat sebelum ini. Inilah teknologi pilihan saya dan kita boleh menjangkakan lebih banyak peranti boleh pakai HUAWEI akan dikuasai dengan sistem ini pada masa akan datang .


Google Gemini Advanced – Fahim Zahar

Memandangkan saya sudah sudah memilih Pixel 9 Pro XL sebagai telefon pintar terbaik saya untuk 2024, teknologi terbaik saya untuk tahun ini adalah Google Gemini Advanced. Ya, saya menerimanya secara percuma dengan pembelian peranti tetapi sebelum itu saya sudah melanggan sendiri.

Saya masih belum percaya AI generatif boleh menjadi pengganti manusia, tetapi ia adalah alat bantuan terbaik dalam pelbagai keperluan harian. Saya menggunakannya untuk mendapatkan inspirasi atau idea rekaan imej, suntingan imej, melakukan analisa dokumen, membantu melakukan kajian dan banyak lagi berkaitan Teks.

Dengan penambahan cir Gemini Deep Research yang diperkenalkan kurang sebulan lalu, melakukan kajian topik sukar di atas talian dengan sumber yang sahih dapat dipermudahkan. Proses yang mengambil 2-3 jam sebelum ini boleh dilakukan dalam asa 15 minit. Tidak dinafikan yang implementasi Gemini masih belum cukup sempurna, namun untuk penggunaan harian saya – ia cukup berguna dan membantu.


Intel Lunar Lake – Nazrin Zain

Dengan siri cip pemprosesan Intel Lunar Lake, Intel akhirnya telah berjaya menggabungkan prestasi perkomputeran yang mantap dengan jangka hayat bateri yang panjang. Saya telah mengulas dua buah komputer riba Intel Lunar Lake, termasuklah ASUS Zenbook S 14 dan juga Acer Swift 14 AI, dan kedua-dua komputer riba ini memperlihatkan kedua-dua prestasi dan jangka hayat bateri yang menakjubkan. Selama ini pengguna PC hanya boleh melihat dengan cemburu ciri yang hanya boleh dinikmati pengguna MacBook.

Dari segi prestasi, ia bukan sahaja cukup berkuasa untuk melakukan pelbagai tugasan produktiviti harian, tetapi dengan cip pemprosesan Intel Battlemage yang terbaru, ia juga mampu menggerakkan permainan-permainan moden pada kadar bingkai yang cukup tinggi. Ini memberikan kelebihan kepada pengguna komputer riba Lunar Lake kerana pelbagai permainan video boleh dijalankan tidak seperti kekurangan yang wujud di MacBook.

Dari segi jangka hayat bateri, komputer-komputer riba ini boleh beroperasi selama 12-15 jam dengan satu pengecasan tanpa masalah. Inilah yang dijanjikan Intel sejak Project Athena lima tahun yang lalu. Dalam tahun 2024 yang penuh mencabar untuk Intel, Lunar Lake ialah sinar yang diperlukan dalam kegelapan.

Komen