Carian
Microsoft Menghasilkan Cip Kuantum Majorana 1 Menggunakan Partikel Fermion
February 20, 2025 Effi Saharudin

Microsoft mengumumkan cip pemprosesan kuantum Majorana 1 yang merupakan yang pertama di dunia menggunakan partikel fermion Majorana dan bukannya elektron untuk berfungsi. Fermion Majorana ialah partikel subatomik yang menurut Microsoft dalam menghasilkan qubit yang lebih stabil berbanding qubit menggunakan elektron.

Majorana 1 hadir dengan 8 qubit sahaja pada ketika ini tetapi Microsoft percaya kelak mereka boleh meletakkan sehingga 1 juta qubit pada sebuah cip pemprosesan kuantum yang hanya sebesar cip komputer desktop. Komputer kuantum mempunyai kemampuan melakukan pemprosesan kompleks yag dahulunya mustahil dalam masa beberapa minit.

Sebagai contoh cip kuantum Google Willow dengan 105 qubit menyelesaikan sebuah masalah matematik yang mengambil masa  10,000,000,000,000,000,000,000,000 (10 septilion) tahun pada superkomputer Frontier dalam masa hanya 5 minit.

Walaupun mempunyai kuasa memproses yang tinggi, masalah dengan cip kuantum ialah terdedah kepada hingar yang menyebabkan kehilangan data menjurus kepada kesilapan. Oleh sebab itu komputer kuantum yang lebih stabil perlu dibangunkan untuk menjadikannya lebih praktikal.

Dengan pengumuman Majorana 1, Microsoft telah dipilih oleh Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA) untuk projek Sistem Kurang Diteroka untuk Pengkomputeran Kuantum Skala Utiliti (US2QC). Projek US2QC ingin mewujudkan komputer kuantum yang benar-benar berguna dalam masa beberapa tahun dan bukannya dalam masa beberapa dekad.

Teknologi perkomputeran kuantum telah diterokai oleh Microsoft sejak 17 tahun yang lalu dan Majorana 1 diharap akan dapat digunakan untuk menemukan teknologi perubahan dan bahan baharu yang sebelum ini dianggap mustahil walaupun sekiranya kuasa pemprosesan semua superkomputer di dunia digabungkan.

Komen