Pada asasnya MAX merupakan versi lebih besar untuk pilihan kamera aksi daripada GoPro. Ia mempunyai dua kamera di bahagian hadapan dan belakang yang boleh merakam video 360 darjah pada resolusi 5.6K/30FPS. Sejak daripada itu nampaknya tiada sebarang versi kemaskini dihasilkan sehingga GoPro MAX 360 (2025) diumumkan secara rasmi.

Tiada perubahan ketara untuk rekaan malahan kemampuan rakaman juga masih dihadkan pada resolusi 5.3K. Boleh kata mengecewakan kerana resolusi video kamera masih sama seperti model lima tahun lalu. Kalau adapun GoPro hanya menambahbaik pilihan pelekap dan teknologi bateri.
Dalam konteks ini ia boleh digunakan bersama semua pelekap tripod ¼ standard daripada GoPro. Kapasiti bateri 1,600mAh digunakan juga lebih baik yang berjenis enduro bermakna boleh bertahan dalam pelbagai keadaan sehingga suhu sejuk melampau -10°C.

Perisian dalaman juga lebih baik dengan kemampuan suntingan video 360 yang lebih mudah, manakala sistem penjejakan objek berasaskan AI terkini memastikan rakaman lebih berkualiti boleh dilakukan. Melaluinya pengguna turut boleh melaraskan tetapan kanta digital hanya pada bingkai utama, dalam masa yang sama pilihan CameraFx dan penapis baharu juga disediakan bersama.
Pengguna juga boleh menggunakan pemalam Reframe baharu dalam Adobe Premiere Pro dan After Effects untuk proses suntingan pada desktop. Pelanggan GoPro Premium dan Premium+ pula boleh mendapat storan awan tanpa had. GoPro MAX 360 (2025) boleh didapati dengan harga $349.99 (~RM1,548).