Pelajar Saman Universiti Selepas Dibuang Kerana Didakwa Gunakan ChatGPT Untuk Menulis Esei
Effi Saharudin
Sejak ChatGPT dilancarkan pada November 2022, landskap dunia penulisan dan lebih kritikal lagi akademik berubah dengan pesat. Pelajar yang bijak menggunakannya untuk menghasilkan tugasan dengan maklumat tambahan. Pelajar yang kurang bijak pula menyalahgunakannya untuk menulis tugasan diberikan oleh pensyarah tanpa perlu berfikir panjang.
Tahun lalu Haishan Yang, seorang pelajar ijazah sarjana telah dibuang daripada University of Minnesota kerana didakwa menggunakan ChatGPT untuk menulis esei. Universiti mendapati kemampuan beliau menghasilkan tiga esei dalam masa lapan jam ketika bercuti di Maghribi mengesahkan kecerdasan buatan (AI) telah digunakan.

Yang kini menyaman University of Minnesota kerana mendakwa beliau menipu. Antara alasan yang diberikan oleh beliau ialah esei yang dihantar kelihatan seperti ditulis AI kerana ChatGPT digunakan untuk melakukan semakan ejaan. Sebarang persamaan dalam esei beliau dan esei dijana apabila pensyarah memasukkan soalan yang sama ke dalam ChatGPT pula menurut Yang adalah kerana beliau menggunakan sumber yang sama. Oleh itu saman difailkan kerana “wujud konspirasi untuk membuang beliau daripada universiti”.
Pihak universiti bertegas tindakan yang diambil mereka adalah tepat. Lebih-lebih lagi selepas dalam salah satu esei yang dihantar terdapat frasa yang berbunyi seakan prom yang meminta ChatGPT menghasilkan karya yang lebih kasual seakan yang ditulis pelajar luar negara.
Isu penggunaan AI untuk menjana esei tugasan dalam kelas ialah isu yang akan menjadi semakin serius kerana model lebih baharu semakin bijak menulis seperti manusia sehingga sukar dikesan. Di Amazon terdapat ribuan buku ditulis oleh AI sehingga memaksa Persatuan Penulis Amerika Syarikat mencipta logo pengesahan rasmi untuk buku yang ditulis manusia bulan lalu.
[sumber] Kare 11 [/sumber]