Carian
OpenAI Melancarkan ChatGPT Yang Menghasilkan Karangan Berdasarkan Input Pendek
December 2, 2022 Effi Saharudin

Tahun ini timbul kontroversi apabila Stable Diffusion dan DALL.E 2 boleh menghasilkan imej berdasarkan input teks pendek yang dimasukkan oleh pengguna. Wujud persoalan mengenai harta intelek yang memaksa pembangun Stable Diffusion mengubah algoritma supaya karya seni artis terkemuka tidak boleh ditiru dengan baik.

Kini OpenAI yang membangunkan DALL.E 2 , menulis lagu baharu dari artis yang telah meninggal dunia dan mengalahkan manusia dalam Dota 2 melancarkan pula ChatGPT berasaskan model kecerdasan buatan GPT-3 mereka. Menerusi demo yang boleh diakses percuma sekarang, ChatGPT boleh menghasilkan karangan pendek berdasarkan input yang dimasukkan oleh pengguna.

Seperti perisian chat biasa, ChatGPT boleh menghasilkan karangan pendek berdasarkan pelbagai jenis topik yang diminta. Ia mengambil masa beberapa saat sahaja untuk menulis teks yang akan memerlukan manusia beberapa minit untuk melakukan perkara yang sama.

Sebagai contoh kami bertanyakan pendapat kecerdasan buatan ini mengenai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan jawapan yang diberikan adalah agak bijak. Kemudiannya apabila diminta menulis ulasan untuk iPhone 14 menggunakan tona kecewa dan terma dari dekad 50an, sekali lagi karangan yang dihasilkan adalah lucu dan tepat dengan input yang diberikan.

Sekiranya anda ingin mencuba sendiri ChatGPT ia boleh diakses menerusi pautan di bawah. Akaun OpenAI diperlukan terlebih dahulu. Tidak seperti DALL.E 2, ChatGPT tidak mempunyai had pengguna dan anda bebas memasukkan input dan menyuruhnya menghasilkan karangan yang hampir sebaik yang ditulis manusia.

Komen