Carian
Realme Mengacah Pelancaran Peranti Ultra Di MWC
February 25, 2025 Effi Saharudin

Realme juga akan melancarkan sebuah peranti Ultra di MWC Barcelona minggu depan. Menerusi imej promosi yang dikongsi oleh Realme, peranti mempunyai rekaan bonggol belakang yang besar yang mirip digunakan pada siri Vivo X200 dan Oppo Find X8. Sekiranya imej acah yang dikongsi diterangkan, dapat dilihat peranti ini hadir dengan sensor bersaiz besar.

Tiada maklumat mengenai peranti ini telah tertiris sebelum ini. Yang boleh kami katakan ialah pada November tahun lalu, wakil Realme mengesahkan mereka sedang membangunkan sebuah telefon pintar baharu yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat fotografi ternama.

Imej asal yang telah diterangkan.

Beberapa tahun lalu muncul ura-ura Realme melakukan kerjasama dengan Kodak. Di bawah payung BBK Electronics, Realme belum melancarkan peranti dengan syarikat fotografi. Oppo dan OnePlus telah lama bekerjasama dengan Hasselblad. Vivo pula bekerjasama dengan Zeiss. Misteri mengenai peranti mercu Ultra oleh Realme ini akan terjawab dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Komen