Honor Berkongsi Lanjut Mengenai Pengenalan Alpha Plan Baharu
Amy Maizuraa
Honor sebelum ini ada berkongsi mengenai inisiatif strategik terbarunya, Honor Alpha Plan yang bertujuan untuk membina ekosistem AI terbuka dengan rakan kongsi globalnya. Inisiatif ini akan diperkenalkan dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona pada 2 Mac 2025.

Honor masih belum memperincikan sepenuhnya mengenai inisiatif Honor Alpha Plan. Walau bagaimanapun, di bawah inisiatif berkenaan, Honor dilihat akan memperkenalkan beberapa teknologi baharu seperti AI Connect yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehan sambungan antara peranti, AI Upscale yang akan meningkatkan kualiti visual dan prestasi peranti, dan AI Safety, yang memastikan keselamatan pengguna dengan teknologi pengesanan deepfake yang canggih.



AI Connect juga dijangka berfungsi seperti O+ Connect daripada Oppo untuk sokongan sambungan antara peranti Android dan iOS yang mudah. Sementara itu, AI Upscale pula dijangka berfungsi seperti kebolehan meningkatkan kualiti imej yang pernah ditawarkan oleh Realme dengan kebolehan menghasilkan gambar lama menjadi lebih jelas. Maklumat lanjut mengenai Honor Alpha Plan akan diumumkan pada acara tersebut.