Carian
iPhone Lipat Apple Mungkin Menggunakan Skrin Samsung Bebas Kesan Lipatan
February 26, 2025 Fahim Zahar

Apple dilaporkan akan mempunyai dua iPhone dengan skrin boleh-lipat menjelang tahun 2026. Ini bermakna, Apple akan mula melakukan perjanjian akhir memilih pembekal untuk mula membangunkan komponen dan kemudian memastikan pengeluaran lancar. Apple biasanya akan melakukan perjanjian akhir setahun sebelum dan laporan terbaru menyatakan pembekal skrin lipat iPhone adalah Samsung.

Samsung Galaxy Z Fold6, dengan skrin yang jelas kelihatan kesan lipatan.

Apple dikatakan mungkin akan memberi kata putus untuk memilih Samsung sebagai pembekal menjelang bulan April nanti. Menariknya, skrin yang direka oleh Apple dan dikeluarkan oleh Samsung ini dikatakan tidak akan mempunyai kesan lipatan yang boleh dilihat. Berbeza dengan Foldable Dynamic AMOLED pada Galaxy Z Fold6 yang masih nampak kesan lipatannya.

Oppo Find N5 telefon lipat paling nipis yang tidak nampak kesan lipatan pada skrin

Bukan itu sahaja, Apple juga dikatakan mungkin sudah menghampiri fasa akhir dalam rekaan engsel bagi memudahkan proses pengeluaran dan pembangunan untuk ia digandingkan bersama skrin Samsung tadi. Salah satu laporan awal mengenai iPhone dengan skrin boleh lipat ini adalah ia mungkin akan menawarkan konsep seakan Galaxy Z Fold, cuma akan kelihatan seakan iPad apabila dibuka dan iPhone apabila ditutup. Sama-sama kita nantikan.

Komen