Cari @ Amanz

Apple TV+ Mula Mengikut Strategi Netflix Untuk Meningkatkan Jumlah Pelanggan

Link Copied!

Apple TV+ secara perlahan cuba meraih populariti orang ramai dengan mula menawarkan banyak kandungan. Lebih menarik, Apple menawarkan harga langganan yang mesra poket seperti hanya satu harga untuk satu pelan atau harga lebih murah dalam berkas langganan. Namun begitu, jumlah penonton Apple TV+ sebulan masih lebih rendah berbanding jumlah penonton Netflix sehari.

Mungkin disebabkan itu, Apple mula mengembangkan penawaran aplikasi Apple TV kepada peranti Android. Turut tidak dinafikan yang cara Apple TV+ beroperasi sangat berbeza dengan Netflix, berdasarkan pemantauan saya – Apple TV+ lebih seakan Viu. Mereka lebih pentingkan kualiti kandungan dan kualiti produksi berbanding “mengepam” lambakan kandungan yang tidak berkualiti. Terbaru, Apple mungkin sedar akan strategi Netflix dan mereka dilihat mula mengikuti pesaing yang popular dan sukar ditewaskan ini.

Dalam laporan Netflix, ia dilihat hampir 1/3 jumlah pelanggan mereka gemar menonton kandungan berbahasa asing (bukan bahasa Inggeris). Semua sedari yang Netflix sejak ke belakangan ini kerap menawarkan pelbagai kandungan bahasa asing yang menarik, yang unik dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna. Apple juga melakukan perkara sama dengan La Maison, Berlin ER, Love You to Death, You Would Do It Too, Where’s Wanda? dan Midnight Family.

Tambahan pula dengan Apple diwajibkan mengeluarkan atau melabur kepada industri perfileman Perancis, semakin banyak kandungan bukan bahasa Inggeris akan tiba. Walau bagaimanapun masih tidak tahu jika penawaran Apple TV+ ini akan membuatkan orang ramai yakin untuk kekal melanggan dan bukannya hanya melanggan ketika musim siri TV menarik disiarkan sahaja. Apakah pendapat anda? Adakah anda akan melanggan Apple TV+ dengan pelbagai kandungan bukan bahasa Inggeris?


Komen ()