Xiaomi HyperOS 2 Kini Menyokong Integrasi Ekosistem Apple
Effi Saharudin
Di acara pelancaran produk mereka di MWC Barcelona yang sedang berlangsung sekarang, Xiaomi mengesahkan ciri menyokong ekosistem Apple. Menerusi grafik yang dikongsi, peranti dengan sistem operasi HyperOS 2 boleh digunakan bersama dengan MacBook, iPad dan iPhone. Ini adalah ciri yang kali pertama diperlihatkan oleh Oppo semasa pelancaran Find N5 minggu lalu.

Maklumat mengenai bagaimana ciri ini akan berfungsi serta demo tidak pula diperlihatkan. Berdasarkan tangkapan layar yang diperlihatkan, proses pemindahan data antara peranti Xiaomi ke MacBook, iPad dan iPhone akan dapat dilakukan seakan AirDrop. Pada waktu yang sama antaramuka telefon Xiaomi juga boleh diakses di dalam sebuah MacBook.

Sokong ekosistem Apple ini dilakukan menerusi Xiaomi Hyperconnect. Besar kemungkinan seperti yang dilakukan Oppo, ciri ini juga memerlukan pemasangan aplikasi Xiaomi pada peranti Apple terlebih dahulu. Kami akan cuba mencari demo ciri ini jika ia diperlihatkan oleh Xiaomi selepas usainya majlis pelancaran ini.