Salah satu daripada cabang integrasi ejen AI Honor, atau lebih dikenali sebagai Honor Alpha Plan ialah kebolehan untuk menghantar fail daripada peranti-peranti mereka kepada peranti yang berada dalam ekosistem yang lain, dan untuk fokus mereka kali ini, adalah peranti Apple iPhone.

Sewaktu acara pengumuman Honor Alpha Plan yang berlangsung hari ini, sebelum acara Mobile World Congress berlangsung secara rasmi, Honor telah mengumumkan bahawa kemaskini akan datang pada ciri Honor Share mereka termasuklah kebolehan untuk menghantar fail kepada peranti-peranti Apple iPhone.
Demo untuk teknologi ini dilihat menggunakan dua ciri, iaitu ciri perkongsian fail Honor Share dan juga aplikasi Honor Connect yang akan diperlihatkan pada peranti-peranti iPhone kelak. Sewaktu pembentangan oleh CEO Honor, James Li, beliau mengatakan bahawa dengan teknologi mereka, penghantaran fail dari sebuah peranti Honor ke iPhone boleh berlaku pada kadar 85MB/s, dimana sebuah fail bersaiz 1GB boleh dihantar secara nirwayar dalam masa 13 saat sahaja.

Buat masa ini, teknologi perkongsian Honor Share hanya boleh dilakukan diantara peranti-peranti Honor, dan kelak bersama-sama dengan peranti pintar berjenama lain juga, seperti Xiaomi, Huawei, Oppo, Samsung dan sebagainya tanpa masalah, dan dilihat mempunyai kemampuan menyerupai teknologi penghantaran fail Android sendiri, iaitu QuickShare.

Honor juga mempunyai pelan untuk melanjutkan sokongan untuk teknologi ini kepada peranti komputer riba dan desktop berasaskan sistem operasi Microsoft Windows dan MacOS kelak, tetapi tidak memberi sebarang butiran lanjut mengenainya.

Malah, untuk sokongan penghantaran fail ke peranti pintar lain juga belum lagi diketahui, dan apa yang kami tahu setakat ini, kesemua peranti yang diuji di acara tersebut dilihat menggunakan aplikasi Honor Connect.