Di MWC Barcelona 2025 hari ini, Realme memperlihatkan Realme Interchangeable-Lens Concept yang diacah semalam. Ia adalah sebuah telefon pintar yang boleh menggunakan lensa kamera DSLR. Ini bukanlah konsep baharu dengan pelbagai sistem yang sama sudah cuba dibangunkan beberapa pengeluar seperti Xiaomi dan juga kempen Indiegogo sejak telefon pintar mula dipasarkan hampir 20 tahun lalu.
Yang menjadikan Realme Interchangeable-Lens Concept unik ialah ia yang pertama diperlihatkan kepada orang ramai dan saya antara yang berpeluang melihatnya berfungsi menggunakan empat mata sebentar tadi.
Apakah Realme Interchangeable-Lens Concept
Realme Interchangeable-Lens Concept sekadar mengesahkan apa yang ramai sudah tahu iaitu kamera pada telefon pintar masih belum setanding dengan sebuah kamera digital sebenar. Dalam demo di reruai mereka sebentar tadi, Realme memperlihatkan perbezaan kualiti gambar diambil Realme Interchangeable-Lens Concept dengan sebuah iPhone 16 Pro Max.

Peranti yang digunakan untuk Realme Interchangeable-Lens Concept ialah peranti yang dibangunkan khas untuk konsep ini. Ia bukan sebuah peranti sedia ada seperti yang dilakukan Xiaomi menerusi Xiaomi Modular Camera System yang juga telah saya cuba hari ini.
Yang dikongsi oleh wakil Realme ialah ia dilengkapi sensor 1″ keluaran Sony dan dipadankan dengan sebuah cip Snapdragon kelas mercu yang tidak pula didedahkan modelnya. Mungkin sebuah Snapdragon 8 Elite yang mempunyai ISP terbaik pada peranti Android tahun ini.

Panel belakang kamera mempunyai gerigi untuk penyesuai lensa disambungkan kepada tubuh. Realme mengesahkan penyesuai lensa yang digunakan menyokong hanya M-Mount oleh Leica. Adalah menarik melihat Realme menggunakan dua lensa Leica untuk peranti prototaip mereka tetapi Xiaomi tidak melakukan kerjasama sama pada Xiaomi Modular Camera System.

Bagus Atau Gimik?
Dua lensa yang disokong Realme Interchangeable-Lens Concept membolehkan zum 3X dan 5X secara optikal. Apabila dua lensa ini digunakan, proses fokus perlu dilakukan secara manual. Dalam beberapa gambar yang diambil, jelas kualiti gambar peranti Realme adalah jauh lebih baik berbanding iPhone 16 Pro Max.

Imej adalah lebih tajam, terang, memaparkan keperincian lebih tinggi dan juga kesan bokeh yang nampak lebih realistik. Tiada hingar yang jelas dapat dilihat walaupun model diletakkan dalam sebuah bilik dengan pencahayaan yang kurang memuaskan. Walaupun gambar yang diambil cantik, ini bukanlah peranti yang praktikal.

Lensa perlu ditukar untuk berubah daripada zum 3X ke zum 5X. Panel belakang peranti juga perlu dibersihkan bagi memastikan imej yang jatuh ke atas sensor 1″ tidak dihalang kotoran. Ia juga membuatkan peranti menjadi terlalu berat untuk dipegang.
Realme sekadar mengatakan konsep ini direka untuk mempertingkatkan kemampuan kamera telefon pintar mereka menggunakan algoritma. Konsep ini tidak akan dipasarkan dalam masa terdekat. Tetapi saya ingin bertanya kepada anda satu soalan. Jika wujud sekalipun adakah anda berminat membelinya atau sistem kamera telefon pintar milik anda sekarang lebih daripada mencukupi?