Carian
Pandang Pertama TECNO AI Glasses Pro – Selamat Tinggal Meta Ray-Ban
March 5, 2025 Fahim Zahar

11 tahun lepas, Amanz berpeluang mencuba Google Glass yang tidak dinafikan unik dan sebenarnya dilancarkan sedekad terlebih awal. Google Glass adalah antara yang terawal menawarkan kaca mata yang mempunyai pancaran skrin. Ia adalah kaca mata pintar dengan skrin dipancarkan di di hadapan mata dan boleh menggunakan kawalan gestur dengan anak mata, jari atau menyeru Hey, Google.

Sedekad kemudian, Meta Ray-Ban menjadi kaca mata pintar paling popular dan peperangan pengeluar menawarkan produk lebih kurang sama bermula di MWC Barcelona 2025. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman menggunakan TECNO AI Glasses dan TECNO AI Glasses Pro.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

TECNO AI Glasses yang asas hanyalah kaca mata AI untuk tujuan penterjemahan dan juga sebagai alternatif kepada TWS. Ia sangat ringan dan mudah untuk digunakan. Namun, tidak ada banyak keistimewaan berbanding apa yang kebanyakan kaca mata pintar pernah tawarkan seperti Huawei, dan kaca mata pintar lain yang berlambak di laman biayasama seperti Indiegogo. Apa yang benar-benar menarik perhatian adalah TECNO AI Glasses Pro dengan skrin terbina.

Ia menawarkan pengalaman penggunaan seakan Oppo Air Glasses yang diperlihatkan beberapa tahun lepas. Selain itu, ia turut mempunyai sedikit persamaan dengan kaca mata AI Meizu iaitu MYVU. TECNO AI Glasses Pro ini menyembunyikan komponen projektor pada kaca mata ini dengan baik dan tidak kelihatan langsung ia sebagai kaca mata elektronik. Kecuali, jika ditenung pada kamera dan speaker atau butang fizikal pada kawasan tangkainya.

Sama dengan penggunaan set kepala VR, AR atau MR di mana jika anda adalah seorang yang rabun – kaca mata ini memerlukan lensa preskripsi. TECNO tidak mendedahkan siapakah rakan kerjasama lensa mereka, seperti MYVU yang terhad dengan lensa tersendiri sahaja.

Paparan warna hijau dengan format berasaskan teks, animasi ringkas dan garisan seakan foilem sains fiksyen era 80-an dan 90-an. Menggunakan kaca mata ini memberi perasaan seakan berada di era retro moden. Antaramuka utama kaca mata ini adalah seakan jam digital dengan rekaan seakan jam tangan pintar di mana ikon disusun dalam bulatan.

Kawalan adalah dengan gestur sentuhan di sisi kanan tangkai kaca mata. Turut ada dua butang fizikal untuk kawalan yang lebih fleksibel. Kawalan gestur agak lancar dan mudah untuk memilih ikon aplikasi. Ia menyokong peta untuk arahan selok-belok, ada sokongan kamera dengan viewfinder, ada sokongan berkomunikasi dengan ChatGPT dan turut boleh memaparkan teks untuk menjadi telepanduan.

Saya difahamkan kaca mata ini turut menyokong ciri AI untuk arahan kawalan suara. Namun dalam cubaan, ciri ini tidak ditemui. Kaca mata ini turut adalah sebahagian daripada ekosistem TECNO AI dan ia mesra digunakan bersama semua peranti TECNO. TECNO tidak menjelaskan mengenai sokongan kaca mata ini bersama peranti lain.

Sudah banyak kaca mata pintar saya uji setiap kali tiba di acara MWC, namun TECNO AI Glasses Pro ini yang membuatkan saya rasa teruja kerana ia berfungsi dengan sempurna dalam cubaan singkat. Namun, prestasi keseluruhan masih menjadi tanda tanya dan adakah sistem peta boleh diyakini kerana ramai melaporkan kaca mata seperti ini biasanya menggunakan sistem dan data tersendiri sahaja.

KESIMPULAN

Sebagai pengguna kaca mata Meta Ray-Ban, TECNO AI Glasses Pro ini adalah apa yang saya mahu lihat ada pada Meta Ray-Ban atau Oakley generasi baharu. Saya masih tidak menyesal membeli kaca mata Meta yang sudah hampir dua tahun usianya, kerana ia masih beroperasi dengan baik dan lancar. Namun, walaupun saya tidak menyesal – saya sangat cemburu dengan apa TECNO tawarkan pada kaca mata mereka. Paling penting, lebih canggih – tetapi lebih ringan dan jauh lebih selesa.

Sebagai seorang yang sangat meminati teknologi, menggemari filem sains fiksyen dan yang bertemakan futuristik, TECNO AI Glasses Pro adalah kaca mata yang terdekat membawakan pengalaman penggunaan seakan pembantu maya dengan hologram JARVIS dalam filem Iron Man menjadi realiti. Saya sangat berharap yang TECNO Malaysia akan membawa masuk kaca mata ini apabila ia sedia dijual. Apa kata anda?

PRO DAN KELEBIHAN

  • Rekaan yang ringkas, ringan dan sangat selesa.
  • Paparan yang sangat jelas dan mudah untuk dikawal.
  • Speaker stereo yang jauh lebih kuat dan enak.
  • Dua butang fizikal yang sangat memudahkan.
  • Ciri AI yang lengkap.
  • Aplikasi ringkas yang berguna.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Risau harga jualan menjadi sangat tinggi.
  • Paparan terhad kepada warna hijau sahaja.
  • Ciri AI mungkin perlu mempunyai langganan aktif tersedia.
  • Tiada ciri kawalan suara.
  • Lebih mesra bersama peranti TECNO berbanding peranti lain.
Komen