Di MWC Barcelona 2025 saya akhirnya dapat melihat sendiri Samsung Galaxy S25 Edge menggunakan mata di jemala sendiri. Ini ialah peranti yang diacah semasa pelancaran siri Galaxy S25 pada Januari lalu. Walaupun sudah diacah, Samsung masih merahsiakan spesifikasi peranti yang bakal dipasarkan sebagai telefon pintar paling nipis pernah dilancarkan oleh mereka.

Seperti di acara pelancaran siri S25, S25 Edge di MWC sekadar paparan statik yang tidak boleh disentuh. Segerombolan pengawal keselamatan ditempatkan di ruang pameran dimana sekitar sedozen S25 Edge digantung. Perkara pertama yang boleh saya katakan ialah ianya tidak menimbulkan perasaan teruja di hati saya. Di depan mata, S25 Edge tidaklah senipis seperti yang diharapkan.

Berdasarkan gambar di atas anda boleh melihat sendiri ianya mungkin setebal Oppo R5 yang dilancarkan 11 tahun yang lalu. Sungguhpun tubuhnya nipis, bonggol yang menempatkan dua kamera di bahagian belakang adalah besar dan agak tebal. Ini membuatkan rekaan “nipis” yang digunakan untuk mempromosikan peranti ini adalah tidak berlandaskan kebenaran.

Apa yang dimahukan orang ramai apabila sesuatu dikatakan nipis ialah keseluruhan tubuh adalah nipis. Kewujudan bonggol yang cukup ketara membatalkan kelayakan sesuatu peranti untuk dikategorikan sebagai nipis. Harus saya katakan, Samsung Galaxy Alpha dari tahun 2014 lebih layak dipasarkan sebagai peranti nipis kerana tiada “kebuncitan” bonggol kamera.

Kemudian bonggol kamera yang digunakan juga nampak tidak seimbang. Canggung dan janggal di panel belakang. Mungkin kerana ia adalah dua bonggol seakan tangga. Satu tangga berbentuk bujur dan satu lagi tangga untuk lensa kamera. Mengapa estetik bonggol kamera berwarna hitam yang digunakan pada siri S25 dan Z Fold6 tidak digunakan di sini adalah satu misteri.

Jika lensa kamera diteliti, ia juga mengesahkan tiada sistem kamera periskop kerana tiada sensor berbentuk empat segi dapat dilihat. Adakah sekadar lensa sudut lebar dan ultra lebar memadai pada sebuah peranti mercu? Ini hanya dapat dijawab oleh orang ramai. Mengapa tiga kamera tidak boleh diberikan sahaja oleh Samsung sedangkan ia kini adalah standard pada peranti mercu. Lihat reaksi negatif selepas iPhone 16e dilancarkan dengan hanya satu kamera sahaja tempoh hari.
Saya tidak tahu apakah strategi pemasaran Samsung untuk tahun 2025. Ia sudahpun bermula dengan langkah kiri siri S25 yang sekadar mengitar semula majoriti komponen siri S24. S25 Edge pula pada hemat saya tidak menawarkan sebarang evolusi atau revolusi rekaan yang dahulunya sinonim dengan Samsung. Ianya tidak cukup cantik dan tidak cukup nipis membuatkan saya yakin ramai juga tidak cukup teruja.