Dua tahun lepas, nama Pixie tertiris yang dikatakan adalah untuk pembantu maya peribadi baharu yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan generatif untuk pengguna Google Pixel. Terbaru, pihak Android Authority telah mendedahkan serba sedikit butiran mengenai pembantu maya ini.
Pixie dikatakan adalah pembantu maya baharu yang memahami konteks dan memahami apa yang pengguna mahukan. Menurut butiran yang tertiris, lebih lama Pixie digunakan, ia akan lebih diperibadikan hanya untuk pengguna itu sahaja. Pixie bukan nama akhir, kerana ia besar kemungkinan akan menggunakan nama Pixel Sense.

Pixel Sense akan menggunakan data-data dari aplikasi dan perkhidmatan Google Calendar, Chrome, Contacts, Docs, Files, Gmail, Keep Notes, Maps, Messages, Phone, Photos, Aurelius (kod nama aplikasi misteri), Recorder, Pixel Screenshots, Wallet, YouTube Music dan YouTube. Semua data dikatakan akan diproses terus dari dalam peranti dan tidak boleh diakses oleh Google atau aplikasi lain.
Pembantu maya peribadi ini turut boleh mencadangkan pengguna untuk bergerak ke sesuatu destinasi, membeli produk yang mungkin diminati, dan tersedia untuk membantu pengguna tidak kira apa jua situasi. Ciri AI baharu ini turut mungkin akan mempunyai sifat ejen AI, di mana tugasan ringkas dari dalam peranti boleh dilakukan secara automatik.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai pembangunan Pixie atau Pixel Sense ini.