Hanya seminggu lalu kami laporkan imej pengolokan Samsung Galaxy Z Flip7 menunjukkan tiada sebarang perbezaan dengan Z Flip6. Ia adalah agak mengecewakan tetapi boleh diramal selepas melihat siri S25 yang sama sahaja dengan siri S24. Tetapi menurut laporan terkini Android Headlones yang menggunakan imej pengolokan terkini OnLeaks, Z Flip7 mungkin lebih mirip dengan rekaan Motorola Razr Ultra 50.

Imej pengolokan di atas menunjukkan skrin luaran yang kini menggunakan sepenuhnya permukaan panel belakang atas peranti. Hanya dua lubang untuk kamera sahaja tidak akan dilitupi oleh skrin ini. Tubuh masih lagi rata berkotak dan perubahan lain adalah hanya pada cip yang digunakan dan sistem operasi yang dipertingkatkan.
Peranti lipat jenis katup ialah model yang lebih popular berbanding rekaan seakan buku. Isu yang wujud selama ini ialah kapasiti bateri yang kecil dan juga skrin luar yang masih belum cukup praktikal untuk melakukan pelbagai tugasan. Tahun demi tahun skrin luar semakin besar dengan tahun lalu semakin banyak aplikasi boleh dijalankan terus tanpa peranti dibuka.