Kapal angkasa Starship oleh SpaceX meletup lagi pagi ini ketika dalam misi ujian yang ke lapan. Walaupun berjaya dilancarkan dari Starbase menggunakan roket Super Heavy, kapal angkasa ini musnah sekitar 8 minit selepas dilancarkan ketika dalam proses mencapai ketinggian orbit untuk melancarkan kargo beberapa satelit olok-olok Starlink.

Ini ialah kegagalan kedua Starship tahun ini dengan pelancaran sebelum ini berakhir dengan puing-puing kapal angkasa terbakar dan melintas ruang udara Kepulauan Turks dan Caicos. Super Heavy berjaya kembali mendarat dan ditangkap oleh mekanisme penyepit di Starbase Texas.
Masalah mula dikesan selepas beberapa enjin Starship tiba-tiba gagal berfungsi menyebabkan kapal angkasa mula berputar di luar kawalan sebelum berkecai. Serpihan kembali ke bumi dan terbakar seakan meteorit di ruang udara berhampiran Florida.

Sejak ujian pelancaran dilakukan dua tahun lalu, hanya separuh dikategorikan sebagai memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh SpaceX. Sehingga kini Starship masih belum mampu kembali mendarat ke bumi dengan selamat atau melancarkan kargo.
Kegagalan demi kegagalan menyebabkan misi untuk mengelilingi bulan Dear Moon yang sepatutnya dilakukan pada tahun 2023 telahpun dibatalkan oleh hartawan jepun Yusaku Maezawa. Akibatnya Misi Artemis yang mengantara manusia kembali ke permukaan bulan juga telah ditangguh dari tahun 2026 ke 2027.