ASUS telah mengesahkan kehadiran peranti terbaharunya ROG Phone 9 FE di Malaysia pada 19 Mac 2025. Pengumuman dibuat melalui halaman Facebook mereka sejak semalam.
Ia dijangka boleh menjadi peranti gaming lebih mampu milik dalam siri ROG Phone 9. Keadaan yang sama turut dapat dilihat sewaktu pelancaran ROG Phone FE di Thailand tempoh hari. Ini menjadikannya pilihan menarik bagi mereka yang mencari peranti berkuasa pada harga yang lebih berpatutan.

Untuk spesifikasi, ROG Phone 9 FE dilengkapi skrin 6.78-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 185Hz menggunakan tetapan Game Genie. Ia juga dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 bersama memori 16GB LPPDR5X RAM, storan dalaman 256GB UFS 4.0 dan bateri 5,500 mAh yang menyokong pengecasan 65W.

Kamera utama terdiri dengan lensa sudut lebar 50MP dengan gimbal, lensa ultra lebar 13MP dan lensa makro 5MP. Di hadapan pula kamera swafoto 13MP digunakan. Ciri gaming butang bahu AirTrigger serta skrin AniMe Mini-LED dikekalkan pada panel belakang. Keseluruhan peranti juga melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.