Dikemaskini 13 Mac 2025: Apple kini bukan sahaja memadam iklan yang mempromosikan Siri yang “lebih bijak”. Sebaliknya turut membuang semua bahan promosi di laman web mereka yang ada berkaitan dengan ciri baharu Siri yang tidak wujud ini. Apple kini menambah penafian di setiap promosi berkaitan Siri yang ciri baharu berasaskan AI yang memahami konteks hanya akan tiba dalam kemas kini di masa akan datang.

Siri generasi baharu ini dijangka tiba dalam kemas kini iOS 18.4, namun kini telah ditunda ke tahun hadapan dan ia hanya mungkin akan tiba dalam salah satu versi iOS 19. Disebabkan perkara ini juga, projek skrin pintar mereka turut mungkin akan ditunda.
Artikel asal 11 Mac 2025: Ramai mula kecewa dengan Apple kerana pengenalan Apple Intelligence tidak menyertakan Siri yang lebih bijak. Bertahun lamanya, Siri adalah pembantu maya yang tidak boleh diharap, perlahan dan dungu. Namun dengan Apple Intelligence, ia sepatutnya berubah menjadi lebih bijak dan lebih membantu. Kini disebabkan proses pembangunan yang lebih rumit, ciri ini akan ditunda dan Apple mula menarik kembali iklan berkaitan dengannya.
Tahun lepas, Apple ada berkongsi iklan di YouTube dengan lakonan Isabella Ramsey (The Last of Us). Video ini memperlihatkan Siri boleh memahami konteks permintaan pengguna dan mengakses data peranti untuk membantu diri menjadi lebih sosial di depan orang ramai. Video ini kini telah ditarik agar pengguna tidak keliru mengenai ciri yang tidak wujud.

Perkara ini tidak mengejutkan kerana Apple memang buntu sejak dua tahun lepas lagi. Pasukan pembangun mereka menyedari kod-kod Siri yang sangat serabut, tidak teratur dan mengelirukan. Pembangunan Siri dengan integrasi AI ini dikhabarkan mungkin akan dibangunkan semula, seakan Siri yang dilahirkan semula.
Disebabkan perkara ini juga, peranti Internet benda Apple yang dijangka mempunyai skrin seakan iPhone dan rekaan seakan produk vintaj mereka ditunda. Pengguna mungkin hanya akan dapat menikmati Siri yang lebih bijak seawal tahun hadapan.