Nokia Gagal Melakukan Panggilan Telefon Pertama Di Bulan
Effi Saharudin
Lima tahun lalu NASA dan Nokia menandatangani persetujuan membangunkan rangkaian selular di permukaan bulan sebagai persediaan untuk membina sebuah markah bulan yang kekal di masa hadapan. Minggu ini sepatutnya ujian panggilan telefon pertama di permukaan bulan dilakukan oleh Nokia tetapi misi telah menemui kegagalan.

Kelengkapan untuk rangkai 4G/LTE telah dihantar ke permukaan bulan menggunakan kenderaan pendarat Athena yang melakukan pendaratan empat hari lalu. Malang sekali ia mendarat pada bahagian sisi tidak seperti yang dirancang.
Menurut Intuitive Machines yang membina Athena, kenderaan mereka tersasar 400 meter daripada tapak pendaratan asal. Ia mendarat pada bahagian sisi menyebabkan panel solar tidak mendapat cahaya matahari mencukupi. Selepas empat hari ia kini diisytiharkan mati.
Ini sekaligus menyebabkan panggilan telefon pertama di permukaan bulan tidak dapat dilakukan. Selain Nokia, dua kenderaan perayau, robot melompat yang diberi nama Grace dan mesin gerudi PRIME-1 yang menjalan misi mencari ais di permukaan bulan. Pada waktu ini Nokia tidak menetapkan tarikh bilakah percubaan kedua panggilan telefon di permukaan bulan akan diadakan.