Carian
Huawei Akan Melancarkan PC Dengan Cip Kirin X90 Berasaskan ARM
March 17, 2025 Effi Saharudin

Huawei berhenti menawarkan komputer riba dan PC desktop selepas mereka dihalang pula daripada mengakses cip keluaran Intel. Ini ialah sebuah lagi usaha Amerika Syarikat untuk menghalang Huawei untuk bangkit semula selepas dikenakan halangan teknologi sejak 2019. Terkini cip baharu Kirin X90 telah tertiris dan ia adalah cip untuk PC pertama keluaran Huawei berasaskan ARM.

Kirin X90 akan dipasarkan sebagai seteru kepada siri Snapdragon X dan Apple M. Ia dipercayai akan dihasilkan menggunakan teknologi 7nm oleh SMIC sama seperti Kirin 9010 yang digunakan oleh Mate XT Ultimate. Tidak banyak maklumat mengenai X90 diketahui ketika ini tetapi ia besar kemungkinan akan digunakan pada siri MateBook. Sistem operasi Windows tidak akan digunakan sebaliknya digantikan pula dengan HarmonyOS PC.

Pada peringkat awal boleh diramalkan produk dengan Kirin X90 akan dipasarkan di China sahaja terlebih dahulu sebelum ia ditawarkan ke pasaran global. Malaysia sebagai antara pasaran utama Huawei pastinya akan menjadi negara gelombang kedua menerimanya jika mereka ingin memasarkan PC pertama dengan cip serta sistem operasi rekaan sendiri.

Komen