Carian
Amerika Kini Menghalang Huawei Membeli Cip Intel Dan Qualcomm
May 8, 2024 Effi Saharudin

Amerika Syarikat hari ini menarik lesen yang membenarkan Huawei membeli cip keluaran Intel dan Qualcomm menurut laporan Bloomberg. Langkah diambil bagi mengekang Huawei daripada mengakses cip dengan kemampuan AI seperti siri Intel Core Ultra yang dilengkapi NPU.

Penarikan lesen membeli cip ini adalah satu halangan terkini yang dikenakan ke atas Huawei yang dimasukkan ke dalam senarai entiti sejak 2019. Sebelum ini kami ada melaporkan ura-ura pentadbiran Presiden Biden akan menghalang jualan cip Intel kepada Huawei.

Huawei MateBook X Pro

Baru sahaja semalam Huawei MateBook X Pro dilancarkan dan ia sudah boleh dipratempah di Malaysia hari ini. Halangan membeli cip Qualcomm pula mungkin untuk mengelakkan Huawei mengakses cip Snapdragon X Elite yang juga dilengkapi NPU untuk menjalankan AI terus pada mesin.

Impaknya ke atas Huawei pastinya adalah besar kerana majoriti komputer riba yang ditawarkan mereka menggunakan cip Intel. Tahun lalu mereka menjual Huawei Qingyun L540 hanya di China dengan cip Kirin 9006C rekaan sendiri. AMD telah lama tidak dibenarkan menjual cip kepada Huawei yang menyebabkan mereka memfailkan rungutan kerana dikatakan tidak adil.

Komen