Secara rasminya selepas lebih sedekad pengguna Android bersama dengan Google Assistant sebagai pembantu maya lalai peranti, ia akan dimatikan dan digantikan dengan Gemini. Ya, Google akan menamatkan sokongan Google Assistant dengan menggantikannya dengan Gemini sepenuhnya. Secara berperingkat, sedikit demi sedikit ciri dan fungsi Google Assistant ditamatkan.

Google telah menamatkan sebahagian daripada ciri dan fungsi Google Assistant sejak pada tahun 2024 lagi. Tahun ini mereka tamatkan 7 lagi ciri tambahan sebagai peringatan kepada pengguna yang Gemini adalah pembantu maya yang seterusnya.
- Anda tidak lagi boleh menggunakan arahan suara untuk menyukai gambar, kongsi, dapatkan informasi seperti lokasi dan masa gambar diambil untuk Google Photos. Ciri sama boleh dilakukan terus dari dalam aplikasi Google Photos.
- Anda tidak lagi boleh menukar slaid gambar pada skrin pintar menggunakan suara.
- Mod penterjemahan perbualan kini tidak boleh dilakukan dengan Google Assistant tetapi terhad kepada Google Translate sahaja.
- Anda boleh minta Google Assistant menet7apkan peringatan tarikh hari jadi, tetapi tiada lagi notifikasi akan diberikan.
- Ciri menjadualkan dan mendengar Family Bell dihentikan.
- Kemas kini cuaca harian kini tidak lagi disokong.
- Aksesori kenderaan dengan mikrofon terbina kini tidak lagi boleh menyeru Google Assistant. Ia terhad kepada apa yang disokong dari dalam inforia sahaja.
Akan datang pada Pixel 10, Google dijangka memperkenalkan Pixie iaitu sejenis aplikasi yang bersifat seakan ejen AI yang mungkin menggunakan teknologi Gemini. Buat masa sekarang seruan Hey, Gemini masih tidak disokong dan terhad kepada Hey, Google atau Okay, Google lagi. Mana tahu lepas ini kita hanya perlu sebut Gemini atau Pixie sahaja – atau mungkin lihat skrin peranti dan boleh terus seru? Sama-sama kita nantikan.