Huawei FreeArc merupakan percubaan kedua Huawei dalam menghasilkan fon telinga nirwayar dengan rekaan terbuka. Fon telinga ini direka untuk keselesaan melalui penggunaan bahan silikon lembut mesra kulit, selain itu rekaan yang ergonomik.
Rekaan ini menggunakan prinsip yang sama seperti yang pernah digunakan oleh Huawei pada model FreeClip sebelum ini. Pada masa yang sama, ia dilihat menyerupai Xiaomi OpenWear Stereo dan Honor Earbuds Open. Namun bagaimana dengan prestasi? Berikut adalah ulasan untuk Huawei FreeArc.

Spesifikasi Dan Penggunaan
Huawei FreeArc | |
---|---|
Jenis | Fon telinga terbuka |
Pemandu | 17 mm × 12 mm (setiap fon telinga) |
Mikrofon | Dwi-mikrofon Call Noise Cancellation |
Bateri | 510 mAh. 7 jam dengan fon telinga. 28 jam dengan pod pengecas. |
Port pengecas | USB-C (5V2A) |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | SBC/AAC |
Sistem operasi disokong | iOS/Android/HarmonyOS/Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ada |
Pad sesentuh | Naikkan/turunkan kelantangan Mainkan/Jeda audio menjawab/menamatkan panggilan Mainkan senarai lagu seterusnya *Kawalan sentuh boleh disesuaikan dalam aplikasi |
Kemampuan kalis air | IP57 (fon telinga) |
Bluetooth | Bluetooth 5.2 |
Harga Jualan | RM599 |
Huawei FreeArc, Xiaomi OpenWear Stereo dan Honor Earbuds Open ialah fon telinga jenis boleh sangkut yang praktikal dan sesuai untuk kegunaan harian. Walaupun reka bentuknya nampak serupa, setiap satu model mempunyai kelebihan tersendiri bermula daripada bahan binaan, kualiti bunyi hingga teknologi yang digunakan.
Kesemuanya juga menawarkan pengalaman unik yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan gaya hidup pengguna. Saya belum pernah mencuba Xiaomi OpenWear Stereo atau Honor Earbuds Open makanya ulasan untuk FreeArc ini ialah pengalaman pertama dengan fon telinga jenis ini.

Pada pandangan saya, FreeArc menawarkan rekaan yang unik tetapi masih praktikal dengan kebolehan disangkutkan pada telinga. Konsep terbuka membolehkan saya menikmati muzik sambil kekal peka terhadap bunyi persekitaran, yang bantu terutamanya ketika berada di tempat awam.
Bahan silikon lembut yang digunakan terasa selesa dan mesra kulit, manakala reka bentuk ergonomik pula memberikan kestabilan tambahan. Fon telinga ini juga boleh menyesuaikan bentuknya mengikut bentuk telinga seterusnya memberikan keselesaan dan pengalaman penggunaan lebih menyenangkan bagi saya.

Secara teknikal, FreeArc ini direka menggunakan rekaan C-Bridge yang direka khas supaya dapat disesuaikan dengan bentuk telinga kebanyakan orang. Penggunaan silikon lembut menambah tahap keselesaan, dan menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian. Reka bentuk ini sebenarnya mengambil inspirasi daripada FreeClip, tetapi telah ditambah baik dengan bahan aloi Ni-Ti yang lebih tahan lama dan fleksibel.
Fon telinga ini dilengkapi dengan dua pemandu audio berkualiti tinggi bersaiz 17x13mm serta teknologi anti-bocor bagi menjaga privasi audio. Ia juga menggunakan bahan seperti diafragma bersalut titanium dan magnet neodymium untuk menghasilkan kualiti bunyi lebih baik. Selain itu, ia dilengkapi dengan dua mikrofon serta teknologi Call Noise Cancellation yang memastikan suara semasa panggilan sentiasa jelas.

Berdasarkan pengalaman saya, fon telinga ini sangat sesuai untuk individu aktif, sama ada semasa bersenam atau melakukan aktiviti luar di tempat awam. Ia juga memudahkan saya kekal peka terhadap persekitaran, contohnya semasa perjalanan pulang kerja menggunakan monorel atau LRT. Selain itu, di tempat kerja dengan konsep pejabat terbuka seperti di pejabat saya, FreeArc membolehkan saya mendengar muzik sambil berbual dengan rakan sekerja.
Fon telinga ini ringan dan selesa dipakai. Cangkuk silikon lembut serta bateri di hujung memberikan keseimbangan yang baik, menjadikannya sesuai untuk pengguna, termasuk mereka yang memakai cermin mata. Cengkaman yang kukuh memastikan ia kekal di tempatnya, walaupun semasa aktiviti sukan. Selain itu, pemandu audio yang terletak berdekatan dengan saluran telinga memastikan bunyi yang jelas dan berkualiti dihantar terus ke telinga.

Fon telinga ini boleh dikawal dengan cara leretan dan ketukan menjadikan ia senang untuk digunakan. FreeArc mempunyai permukaan sensitif sentuhan di belakang Acoustic Bean. Fungsi kawalan termasuk: leret ke depan atau belakang untuk laras kelantangan audio, ketik dua kali untuk main/jeda/menjawab panggilan, ketik dan tahan untuk menolak panggilan, dan ketik tiga kali untuk melangkau senarai main lagu. Kawalan sentuhan ini sangat membantu terutama bila saya mahu bertukar main balik lagu tanpa telefon pintar.
Reka bentuk sensitif sentuhan memang nampak menarik, tetapi ia mungkin kurang sesuai untuk senaman seperti berjoging. Kawalan sentuhan pada permukaan kecil boleh menjadi susah, terutama bila tangan berpeluh semasa berlari. Ini boleh menyebabkan lagu berubah secara tidak sengaja bila cuba betulkan posisi fon telinga.

Seperkara lagi yang patut diberi perhatian, fon telinga ini mempunyai penarafan IP57 dan merupakan yang pertama dalam rangkaian fon telinga Huawei menerima penarafan kalis air tersebut. Penarafan ini menunjukkan fon telinga ini mampu menahan percikan air dan sedikit rendaman. Namun begitu, perlu ditekankan bahawa pod pengecas tidak mempunyai sebarang penarafan kalis air. Oleh itu, anda dinasihatkan agar lebih berhati-hati.
Fon telinga ini juga ada beberapa kekurangan. Dalam persekitaran yang bising seperti ketika menaiki transit awam bunyi latar boleh mengganggu pengalaman mendengar dan menyebabkan audio kurang jelas. Ini sesuatu yang sudah dijangka untuk fon telinga jenis ini. Selain itu, pemakaian untuk tempoh yang panjang juga boleh menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian belakang telinga, terutamanya jika digunakan sepanjang hari tanpa henti.

Selain itu, pod pengecas juga perlu diberi perhatian. Walaupun ia memberikan perlindungan yang baik, saiznya yang agak besar menyukarkan saya untuk memasukkannya ke dalam poket. Bagi sesetengah orang, ini mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagi mereka yang sering bergerak dan memerlukan sesuatu yang lebih mudah dibawa, saiz ini mungkin dianggap kurang praktikal.
Aplikasi Sambungan
Seperti produk Huawei yang lain, aplikasi HUAWEI AI Life diperlukan untuk meningkatkan pengalaman penggunaan FreeArc. Sambungan dapat dilakukan dengan mudah melalui beberapa langkah ringkas, terutamanya apabila menggunakan peranti telefon Huawei. Aplikasi ini boleh didapati melalui Huawei AppGallery untuk telefon Huawei atau dimuat turun melalui pautan rasmi Huawei bagi peranti Android lain. Pengguna iPhone pula boleh mendapatkannya di Apple App Store.

Melalui aplikasi ini, saya boleh mengemas kini perisian baharu, menukar ke mod kependaman rendah, menyesuaikan kelantangan secara automatik dalam suasana bising, serta mengubah kawalan sentuhan mengikut keperluan. Bahagian EQ menyediakan empat profil bunyi pra tetap, dan saya juga boleh mencipta tetapan bunyi tersuai untuk kawalan yang lebih baik. Semua fungsi ini boleh diakses dengan menyambungkan fon telinga ke peranti Android. Namun begitu, pengguna peranti iOS menghadapi masalah dengan paparan antara muka pengguna (UI) dalam aplikasi AI Life. Aplikasi ini hanya digunakan untuk mengemas kini perisian FreeArc apabila kemas kini tersedia.

Selain itu, tahap bateri untuk fon telinga kini sukar dijangka kerana kedua-duanya digabungkan dalam satu grafik. Walaupun bunyi ‘beep’ yang kerap boleh memberi petanda awal tentang kehabisan bateri tetapi lebih baik jika tahap bateri kedua-dua fon telinga dapat dipaparkan secara berasingan. Kekurangan tetapan EQ turut menjadi kelemahan ketara yang memaksa pengguna bergantung sepenuhnya pada pilihan audio yang disediakan.
Kualiti Audio
Dari segi kualiti audio, FreeArc memberikan prestasi yang memuaskan untuk harganya. Dalam kebanyakan situasi, audio kedengaran jelas dan seimbang, terutamanya apabila tahap kelantangan ditetapkan pada paras 60-70 peratus. Namun, pada tahap kelantangan yang rendah, audio mungkin sukar didengar. Sebaliknya, apabila tahap kelantangan ditingkatkan, pengalaman mendengar menjadi lebih memuaskan.

Salah satu kelebihan utama fon telinga ini adalah keupayaan bass. Meskipun bersaiz kecil, bass yang dihasilkan mantap dan jelas. Prestasi ini cukup mengagumkan, terutama memandangkan kebanyakan fon telinga dalam julat harga yang sama sering gagal menghasilkan bass berkualiti.
Namun, terdapat sedikit kelemahan pada frekuensi pertengahan (mid-frequencies), yang dalam keadaan tertentu mungkin kedengaran tenggelam. Walau bagaimanapun, kelemahan ini tidak begitu ketara sehingga mengganggu keseluruhan pengalaman mendengar. Sebaliknya vokal kekal jelas, memberikan pengalaman audio yang menyenangkan untuk pelbagai jenis muzik.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah kekurangan fungsi untuk pengguna menyesuaikan equalizer (EQ) secara manual. FreeArc hanya menawarkan preset yang tersedia dalam aplikasi rasmi. Walaupun ini memadai bagi sesetengah pengguna, ia mungkin mengecewakan bagi mereka yang gemar menyesuaikan audio mengikut cita rasa peribadi. Namun begitu, aplikasi tersebut mudah digunakan dan mesra pengguna, walaupun reka bentuknya mungkin kelihatan terlalu asas bagi sesetengah orang.
Prestasi Bateri
Bateri FreeArc setanding dengan kebanyakan fon telinga lain. Ia boleh bertahan sekitar 4 jam dengan penggunaan berterusan untuk sekali pengecasan, dan dirasakan mencukupi untuk penggunaan sederhana. Namun, untuk tempoh penggunaan lebih panjang, seperti perjalanan jauh atau hari bekerja penuh, jangka hayat bateri ini mungkin menjadi kekangan.

Walau bagaimanapun, prestasi ini masih memuaskan memandangkan saiz kecil fon telinga tersebut. Namun begitu, ia tidak sepenuhnya menepati dakwaan Huawei yang menyatakan hayat bateri mampu bertahan hingga tujuh jam bagi setiap pengecasan. Selain itu, hayat bateri dengan pod pengecas belum diuji kerana ia belum dicas sehingga kini.
Apa Di Dalam Kotak?

- Fon telinga Huawei FreeArc
- Manual pengguna.
- Manual jaminan.
Kesimpulan
FreeArc adalah pilihan yang sesuai untuk pelbagai aktiviti, terutamanya bagi mereka yang aktif bersukan, kurang selesa dengan fon telinga sejenis in-ear atau ingin kekal peka terhadap persekitaran. Meskipun terdapat beberapa kekurangan, seperti kurang efektif di kawasan bising, tidak selesa digunakan dalam jangka masa panjang, dan aplikasi yang asas. Ia bagaimanapun masih mampu memberikan pengalaman yang memuaskan dalam keadaan tertentu. Untuk pengguna yang tidak ciri premium, FreeArc juga pilihan yang wajar dipertimbangkan kerana ia menggabungkan harga, kualiti dan fungsi dengan seimbang. Namun, ia kurang sesuai untuk penggunaan jangka panjang.
Pro
- Binaan yang ringan.
- Peka terhadap persekitaran untuk tujuan keselamatan.
- Kalis air IP57 sesuai untuk bersukan.
- Ketahanan bateri adalah memadai.
Kontra
- Tetapan EQ terhad dalam aplikasi.
- Pod pengecas bersaiz besar.
- Tidak selesa digunakan dalam jangka masa panjang.
- Aplikasi untuk Android perlu dipasang menggunakan APK.

*Ulasan ini berdasarkan pada pengalaman pelajar latihan industri Amanz, Amzarii yang mencubanya untuk kali pertama. Kemudian disunting oleh seorang penulis yang telah menguji FreeClip dengan fokus utama pada aspek keselesaan dan teknikal sahaja.