YouTube Untuk TV Mula Memaparkan Tab Khas Untuk Podsiar
Fahim Zahar
Kandungan video atau audio berbentuk perbualan atau perbincangan kini semakin menjadi-jadi. Nama lain baginya adalah podsiar atau lebih dikenali sebagai podcast dan kandungan seperti ini cukup popular di YouTube sehingga mencapai 1 bilion tontonan setiap bulan. Terbaru, tab khas untuk podsiar telah ditawarkan di dalam aplikasi YouTube untuk televisyen.

Aplikasi YouTube pada televisyen yang menjalankan Android TV dan/atau Google TV baru-baru ini menerima kemas kini di mana tab kategori video mula memaparkan bahagian Podcast. Dengan penawaran tab ini, pengguna tidak lagi perlu mencari kandungan podsiar dengan mencari melalui saluran atau judul – sebaliknya apa yang diminati akan dicadangkan oleh YouTube terus dari tab ini. Jika anda masih mencari-cari, ia berada di tab sisi di antara tab Movies & TV dan Subscriptions.
Buat masa ini, aplikasi YouTube pada televisyen Android TV/Google TV masih tidak cukup matang dan cerdik dalam mencadangkan kandungan podsiar. Kandungan berbentuk muzik yang pannjang pun dicadangkan pada tab ini. Ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk tab ini hanya mencadangkan kandungan yang sepatutnya. Dalam semakan saya, televisyen di makmal Amanz masih belum menerima ciri ini – televisyen anda bagaimana?
[sumber] 9to5Google [/sumber]