YTL mengesahkan mereka akan menjadi antara pengguna awal GPU NVIDIA GB300 Blackwell Ultra yang diumumkan pada Selalu lalu. Pusat data dengan superkomputer kecerdasan buatan (AI) paling berkuasa NVIDIA ini akan beroperasi di YTL Green Data Center Campus di Johor dengan ia menggunakan kuasa 500MW janaan solar untuk operasi yang lebih mesra alam.

Kampus yang sama turut akan menjadi lokasi superkomputer NVIDIA GB200 NVL72 yang diumumkan tahun lalu dan dijangka akan beroperasi bermula Q3 2025. Pusat data AI YTL terletak di kampus YTL Green Data Center dengan keluasan 1640 ekar di Johor yang pada waktu ini menjadi negeri dengan pusat data terbesar di Malaysia.
Di Johor sahaja, pusat-pusat data sedia ada dilihat memerlukan sebanyak 440 juta liter air setiap hari untuk beroperasi sehingga 2035 kelak. Oleh sebab itu operasi yang lestari seperti menggunakan kuasa solar serta bekalan air sumber alternatif adalah perlu sebelum ia membebankan infrastruktur negara.