Kajian Mendapati iPhone Dengan Skrin Lipat Mungkin Dijual Pada Harga Bermula RM12,000
Fahim Zahar
Apple dijangka akan memperkenalkan telefon dengan skrin boleh-lipat mereka menjelang hujung tahun 2026. iPhone ini dikatakan akan mempunyai skrin dalam tanpa kesan lipatan oleh Samsung bersaiz 7.8-inci dan skrin luar sebesar 5.5-inci. Terbaru, penganalisa British Bank Barclays iaitu Tim Long meramalkan harga jualan peranti ini mungkin akan bermula pada $2,300 (~RM10,191).

Long berkongsi yang beliau telah bertemu dengan pembekal dan pengeluar komponen di sekitar Asia. Selepas pelbagai perbincangan, beliau berpendapat yang iPhone dengan skrin lipat akan dijual dalam kuantiti terhad. Untuk harga jualan Amerika Syarikat, ia mungkin akan mencapai dua kali ganda harga permulaan iPhone 16 Pro Max iaitu $2,398 ($1,199 x2, ~RM10,623). Jika dibandingkan dengan harga jualan Malaysia, iPhone lipat ini mungkin akan dijual pada harga sekitar RM11,998 (RM5,999 x2).

iPhone ini turut akan mempunyai dua kamera sahaja, tiada sokongan Face ID tetapi akan menyokong butang kuasa Touch ID seakan iPad Air. Teknologi bateri yang digunakan dikatakan adalah jenis ketumpatan tinggi untuk ketahanan berpanjangan. Tubuh peranti adalah titanium dengan engsel yang tahan lasak. Paling unik pada iPhone lipat adalah skrin yang dijamin tidak akan meninggalkan kesan lipatan dan ia dihasilkan oleh Samsung.
Buat masa ini masih tidak pasti jika Apple akan menjual iPhone lipat ini ke semua negara atau akan melakukan jualan terhad di negara terpilih seperti jualan Apple Vision Pro. Jika iPhone lipat dijual pada harga bermula RM12,000 adakah anda akan membelinya?
[sumber] MacRumors [/sumber]