Penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo kini mengeluarkan ramalan terkini mengatakan telefon skrin lipat pertama Apple akan dilancarkan pada penghujung 2026 atau awal 2027. Menurut beliau lagi peranti akan mempunyai skrin luar sebesar 5.5″ dan skrin dalaman pula sebesar 7.8″ yang meletakkannya setanding dengan sebuah Oppo Find N yang mempunyai skrin 5.49″ dan 7.1″.

Skrin tidak akan mempunyai kesan lipatan yang ketara menurut Kuo sementara tubuh serta engsel diperbuat daripada bahan titanium. Apabila dilipat tebal peranti adalah antara 9 – 9.5 mm dan dibuka pula ia setebal 4.5 -4.8 mm. Peranti juga hanya akan dilengkapi dua kamera utama di bahagian belakang dan satu sahaja kamera swafoto pada skrin luar. Mengikut spesifikasi ini, ia masih lebih tebal dan kecil jika dibandingkan dengan Oppo Find N5 yang kini ialah peranti skrin lipat berbentuk buku paling nipis di pasaran.
Sebelum ini Kuo ada mengatakan peranti skrin lipat Apple adalah lebih mirip sebuah iPad Mini dan laporan terkini beliau ini selari dengan ramalan asal. Yang mengejutkan kali ini ialah Kuo mengatakan Apple akan menawarkan peranti lipat ini pada harga $2000 (~RM 8800) sebuah.

Apple amat lambat memasuki pasaran peranti skrin lipat yang kini sudah hampir memasuki tahun ke tujuh. Selepas tujuh tahun, pasaran peranti dalam segmen ini sudah semakin mendatar dengan harga jualan tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan orang ramai.
Jika benar Apple ingin menjual peranti mereka pada harga sekitar $2000, ia akan menjadi yang paling mahal untuk rekaan dwi-lipat. Rekod harga peranti skrin lipat paling mahal masih dipengang Huawei Mate XT Ultimate Design yang mencecah RM14,999 (~ $3490) sebuah.