Carian
Pusat Data Awanan Microsoft Malaysia West Cloud Region Akan Beroperasi Pada Suku Kedua Tahun Ini
March 20, 2025 Nazrin

Pada tahun 2021, Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan pusat data awanan serantau atau dinamakan Microsoft Cloud Region di negara ini. Pihak Microsoft nampaknya telah mengesahkan bahawa pusat data ini akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Dinamakan Malaysia West Cloud Region, ia akan memberikan para pelanggan di Malaysia akses penuh ke perkhidmatan-perkhidmatan seperti Microsoft Azure, Microsoft 365, Dynamics 365 dan Power Platform dengan lengah masa rendah.

Pusat data Malaysia West Cloud Region ini dilaporkan akan beroperasi pada suku kedua tahun ini di Kuala Lumpur Raya, dan dijangka akan menjana pendapatan sebanyak $10.9 bilion dalam masa empat tahun selepas pusat data tersebut beroperasi, dan akan menghasilkan sebanyak 37,575 peluang pekerjaan baru menurut laporan IDC, dimana 5700 daripada pekerjaan tersebut adalah peluang pekerjaan untuk profesional dalam industri IT.

Cloud Region ini dilaporkan juga akan terdiri daripada tiga pusat data yang akan mengikuti piawaian penyimpanan data tempatan dan antarabangsa, dimana semua data rakyat Malaysia akan disimpan didalam mesin-mesin pelayan Malaysia West Cloud Region ini.

Pembukaan Malaysia West Cloud Region juga adalah sebahagian daripada pelaburan $2.2 bilion Microsoft yang diumumkan pada pertengahan tahun lepas. Pada penghujung tahun lepas, Microsoft juga telah memperkenalkan program AllForMyFuture yang bertujuan untuk melengkapkan 800 ribu rakyat Malaysia dengan kebolehan untuk menggunakan teknologi-teknologi IT menjelang penghujung 2025.

Komen