Fujifilm telah mengumumkan harga jualan rasmi kamera GFX100RF di Malaysia melalui kemas kini terbaharu di Facebook. Kamera ini boleh didapati pada harga RM24,888 dengan pilihan warna Black dan Silver. Bagi yang berminat, kamera ini boleh dipratempah melalui pengedar sah Fujifilm, dan berpeluang menerima hadiah menarik bernilai RM2,981 untuk masa terhad.

GFX100RF bukan sahaja kompak, tetapi turut dilengkapi spesifikasi menarik yang mampu memenuhi keperluan pelbagai jenis fotografi. Antara ciri yang menarik diberikan ialah sensor 102MP GFX CMOS II HS yang digunakan dalam badan kamera yang bersaiz kompak dengan berat sekitar 700 gram. Lensa tetap FUJINON 35mm f/4 turut digunakan bersama Digital Teleconverter (setara dengan 45mm, 63mm, 80mm). Kamera ini juga menyokong F-Log & F-Log2 untuk penggredan warna video yang lebih fleksibel.

Ia dilengkapi penapis ND terbina dengan 4-hentian untuk kawalan pendedahan lebih baik. Selain itu, sistem auto fokus dengan penjejakan muka, mata, dan objek berasaskan AI turut disokong. Kamera ini juga mempunyai Aspect Ratio Dial dengan lapan format yang di inspirasi daripada filem. Maklumat lebih lanjut boleh dibaca melalui artikel penuh yang dikongsikan sebelum ini.