Carian
Rekaan Cip Exynos 2600 Perlu Siap Pada Q3 2025 Untuk Digunakan Pada Siri Samsung Galaxy S26
March 24, 2025 Nazrin

Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa perniagaan Samsung Foundry sedang memfokuskan kepada rekaan dan pengeluaran cip pemprosesan Samsung Exynos 2600 mereka yang dibina menggunakan proses SF2 buat masa ini, untuk digunakan pada peranti Samsung Galaxy S26.

Terkini, ia dilaporkan oleh laman berita ekonomi Korea Selatan The Bell bahawa Samsung akan perlu menyiapkan rekaan cip tersebut pada suku ketiga 2025 untuk memastikan bahawa ia boleh digunakan pada peranti tersebut. Ini adalah kerana jika tidak, ia akan menyebabkan satu lagi insiden seperti tahun ini dimana Samsung Galaxy S25 menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite untuk menguasakan peranti mercu mereka.

Malah, untuk tahun ini, ia dijangka bahawa Samsung Galaxy Z Flip 7 yang akan dilancarkan pada tahun ini akan menggunakan cip yang sama, dan hanya Samsung Galaxy Z Flip FE yang akan diperkenalkan sebagai peranti boleh-katup mampu milik yang akan menggunakan cip Samsung Exynos 2500 apabila pengeluarannya mencukupi untuk peranti tersebut.

Fokus terhadap pengeluaran dan penggunaan cip Samsung Exynos 2600 dilihat sebagai sangat penting untuk Samsung Foundry khususnya kerana ia akan mencorakkan masa hadapan bahagian tersebut kepada kelangsungan perniagaan pengeluaran cip semikonduktor Samsung.

Jika cip pemprosesan ini berjaya digunakan, dan memperlihatkan prestasi yang mengagumkan, ia dijangka bahawa lebih banyak syarikat-syarikat teknologi akan menggunakan khidmat Samsung untuk mengilangkan cip-cip semikonduktor mereka di masa terdekat ini.

Samsung dikatakan akan perlu menyiapkan rekaan dan pembangunan cip pemprosesan Exynos 2600 menjelang pertengahan suku ketiga 2025 untuk memastikan bahawa ia sempat dikilang dan digunakan pada peranti Samsung Galaxy S26 yang akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.

Komen