Carian
PCI-SIG Mengesahkan Sambungan PCIe 7.0 Sudah Mencapai 128GT/s
March 24, 2025 Nazrin

PCI-SIG, badan penyelia sambungan PCI dan PCIe baru-baru ini telah mengesahkan bahawa sambungan terbaru yang sedang dibangunkan oleh mereka, iaitu PCIe 7.0 kini tampil dengan kadar penghantaran data setinggi 128GT/s seperti yang mereka katakan ia boleh capai sebelum ini.

Ini adalah berdasarkan versi 0.9 sambungan tersebut, yang memperlihatkan kadar penghantaran data 512GB/s pada kedua-dua arah penghantaran dan penerimaan data menggunakan lorong x16. Ini adalah peningkatan kadar penghantaran data sebanyak empat kali ganda apabila dibandingkan dengan piawaian PCIe 5.0 yang digunakan pada komputer-komputer kelas pengguna sekarang.

Pihak PCI-SIG mengatakan bahawa piawaian terbaru ini akan dimanfaatkan oleh sistem-sistem yang memerlukan kadar penghantaran data yang tinggi, seperti sistem AI, pembelajaran mesin, 800G Ethernet, perkomputeran kuantum dan untuk urusan aeroangkasa dan juga sistem awanan.

Dengan kadar penghantaran data yang tinggi ini, fokus PCI-SIG selepas ini ialah nampaknya untuk menjadikan piawaian ini lebih cekap dalam penggunaan tenaga, mengurangkan lengah masa antara sistem, menguatkan integriti isyarat dan untuk memastikan bahawa piawaian baru ini menyokong piawaian sebelumnya seperti PCIe 5.0 dan PCIe 6.0.

Komen