Google Cloud Dan Kerajaan Selangor Perkenalkan Inisiatif Teraju AI
Amy Maizuraa
Kerajaan Selangor telah memperuntukkan RM5 juta melalui Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) untuk melaksanakan inisiatif “Teraju AI Selangor” bersama Google Cloud.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa agensi kerajaan negeri melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan perkhidmatan awam dalam sektor komunikasi, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, dan infrastruktur.

Sebanyak 11 agensi kerajaan negeri akan mengambil bahagian dalam fasa pertama inisiatif Teraju AI, yang dirancang berlangsung selama tiga tahun. Melalui inisiatif ini, kakitangan yang terlibat akan menjalani latihan praktikal yang direka khas untuk membangunkan penyelesaian AI strategik bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran negeri.

Projek ini juga memperkenalkan sandbox inovasi AI pertama dalam sektor awam Malaysia sebagai platform untuk menguji teknologi AI. Selain itu, sebuah inkubator industri akan ditubuhkan untuk menyokong syarikat pemula (startup) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Selangor. Kerajaan juga memberi penekanan kepada penggunaan data yang selamat dan beretika bagi mengurangkan risiko keselamatan siber.
Secara umumnya, inisiatif ini menyerupai konsep “AI at work”, yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan keberkesanan di tempat kerja, lalu memberikan kesan positif kepada perkhidmatan awam untuk manfaat orang ramai.