Jika anda masih kecewa dengan AirPods Max (USB-C) yang dibeli pada harga RM2,499, kemas kini yang bakal diedarkan bulan hadapan mungkin akan menggembirakan semula hati anda. Melalui Apple Music atau Apple TV, pengguna set fon kepala mewah ini kelak boleh menikmati audio nirhilang 24-bit, 48 kHz serta masa pendam lebih rendah. Untuk itu, kabel khas diperlukan dan Apple Malaysia mula menjualnya.

USB-C to 3.5mm Audio Cable kini di senaraikan di laman Apple Malaysia pada harga RM219 untuk panjang 1.2 meter. Kabel ini juga adalah jenis bertocang untuk lebih tahan lasak (braided) dan terhad kepada warna putih sahaja. Apple menyatakan kabel ini sesuai untuk digunakan bersama AirPods Max atau Beats Studio Pro. Walaupun begitu hanya 9 iPhone, sekitar 20 iPad dan lebih 30 Mac menyokong kabel ini. Kabel ini akan tersedia di Apple Store menjelang 28 Mac nanti dengan jualan atas talian akan memulakan penghantaran pada tarikh yang sama juga.