Sebelum ini, ARM telah memfailkan saman ke atas Qualcomm kerana isu berkenaan melanggar perjanjian lesen penggunaan teknologi ARM kerana teknologi-teknologi baru yang diperkenalkan dan digunakan oleh Qualcomm khususnya selepas pengambil-alihan Nuvia.
Isu tersebut dilihat telah diselesaikan di mahkamah pada penghujung tahun lepas, dimana pihak juri mendapati bahawa Qualcomm tidak melanggar mana-mana perjanjian, dan sepatutnya kes mahkamah ini berkubur di situ sahaja.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Qualcomm pula nampaknya sedang cuba untuk memfailkan saman antimonopoli kepada ARM kepada tiga badan kawal selia, termasuklah United States Federal Commission di Amerika Syarikat, European Commission di Eropah dan Korea Fair Trade Commission di Korea Selatan.

Aduan yang diketengahkan Qualcomm ialah tentang bagaimana ARM kini dilihat sedang menyekat penggunaan teknologi-teknologi cip pemprosesan mereka terhadap pengeluar-pengeluar cip pemprosesan.
Persefahaman sedia ada ialah teknologi yang dibangunkan oleh ARM boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang mahu menggunakannya kerana ia termaktub dalam perjanjian sumber terbuka, akan tetapi Qualcomm nampaknya mempercayai bahawa ARM telah mula menyekat penggunaan teknologi-teknologi tertentu seperti compute subsystem mereka yang dioptimumkan untuk penggunaan bersama teknologi AI.
ARM mengatakan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar, dan mereka nampaknya sedang terus membangunkan teknologi-teknologi baru yang boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang melesenkan penggunaan teknologi mereka. Kita akan tahu tidak lama lagi apakah langkah seterusnya badan-badan kawal-selia ini tidak lama lagi.