Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan penghuni bandar telahpun memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman. Sekali lagi untuk tahun ini Proton menerusi anak syarikatnya PRO-NET mengumumkan diskaun pengecasan kereta elektrik sebanyak 30% untuk musim perayaan ini.

Khas untuk pemilik Proton e.MAS dan juga pemilik smart, anda akan menerima diskaun 30% untuk pengecasan kereta elektrik bermula 29 Mac sehingga 7 April 2025. Pemilik perlu menggunakan aplikasi Proton e.MAS ataupun aplikasi Hello smart bagi mendapatkan diskaun pengecasan ini, dan aplikasi ini juga boleh digunakan untuk mengaktifkan pengecas-pengecas yang terdapat dalam rangkaian pengecasan Pro-NET, seperti Gentari, JomCharge, ChargEV, dan terbaru termasuklah Chargesini.


Sehingga kini, Pro-NET telah menyenaraikan lebih dari 2000 pengecasan yang boleh diakses bukan sahaja menerusi aplikasi, akan tetapi terus dari paparan inforia kereta elektrik. Dengan adanya diskaun sebegini, ia pastinya mendorong pemilik kenderaan elektrik untuk yakin pulang ke kampung halaman tanpa terlalu bergantung harap kepada kenderaan petrol. Selain dari Pro-NET, Shell Recharge turut menawarkan rebat untuk penggunaan pengecasan khususnya untuk Lebuhraya Pantai Timur.