Nintendo Switch 2 diumumkan akan dijual bermula Jun depan dua hari yang lalu. Pelbagai maklumat mengenai spesifikasi konsol mudah alih terkini ini sudah dikongsi tetapi yang menjadi misteri ialah cip NVIDIA yang digunakan. Hari ini NVIDIA berkongsi beberapa ciri yang disokong pada cip yang direka khusus untuk Switch 2.
Cip hadir dengan beberapa teras RT dan juga teras Tensor. Dengan ini ciri grafik ray tracing akan disokong membolehkan pencahayaan serta bayang-bayang yang nampak realistik dipaparkan dalam permainan video. Ini meletakkan Switch 2 setanding dengan PlayStation 5, dan Xbox X/S yang turut menyokongnya.

Dengan teras Tensor pula, cip boleh melakukan proses yang memerlukan kecerdasan buatan (AI) seperti meningkatkan resolusi grafik menggunakan Deep Learning Super Sampling (DLSS). Ini ialah cara grafik konsol dapat dipertingkatkan ke 4K daripada 1080p di televisyen apabila dimasukkan ke dalam dermaga.
Secara keseluruhan, cip baharu NVIDIA ini memberikan peningkatan grafik sehingga 10 kali ganda berbanding Switch asal yang dilancarkan pada tahun 2017. Selain itu kadar segar semula boleh-ubah (VRR) akan menyokong sistem G-SYNC.
Nintendo Switch 2 akan mula dijual pada bulan Jun pada harga $450 sebuah dengan ia akan hanya memasuki pasaran Malaysia antara Julai hingga September depan.