Microsoft dilaporkan telah membatalkan perbincangan dan dalam beberapa situasi lain menangguhkan pembinaan pusat data di Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat. Ini berikutan permintaan untuk pusat data melatih kecerdasan buatan (AI) dan besar kemungkinan berkait rapat dengan pengumuman tarif yang dilakukan oleh Presiden Trump sejak Januari lalu.

Permintaan untuk pusat data berkurangan kerana proses melatih model baharu dengan lebih efisien seperti yang ditunjukkan oleh DeepSeek kini menjadi semakin popular. Mengimport perkakasan daripada luar negara pula akan menyebabkan kos pembinaan pusat data meningkat dengan mendadak.
Taiwan dan China yang menjadi pengeluar utama komponen pusat data masing-masing dikenakan tarif 32% dan 54% bermula 5 April ini sebagai balasan ke atas “perdagangan tidak adil” oleh kedua-dua negara menurut Trump.
Awal Januari lalu Microsoft mengumumkan akan melakukan pelaburan $80 bilion sepanjang 2025 bagi membina pusat data. Tetapi landskap dunia teknologi telah berubah sejak pengumuman dilakukan. Sejak tarif melampau diumumkan semalam, saham kesemua syarikat teknologi utama dunia merosot dengan teruk. Apple jatuh lebih 9%, sementara Amazon dan Meta pula masing-masing hampir 9%.