Carian
Saham Syarikat Teknologi Utama Dunia Merosot Disebabkan Tarif Trump
April 4, 2025 Effi Saharudin

Sehari selepas pengumuman tarif pukul rata oleh Presiden Trump diumumkan, nilai saham syarikat teknologi utama dunia merosot teruk sejurus selepas pasaran dibuka. Ketika artikel ditulis, penurunan saham mencecah $2.5 trilion (~RM 11 trilion) dicatatkan dengan impaknya akan dirasai juga oleh negara-negara lain.

Saham Apple yang merupakan syarikat dengan nilai pasaran tertinggi dunia merosot hampir 10% dengan Amazon dan Meta pula susut hampir 9%. TSMC dan NVIDIA pula susut hampir 8%. Broadcom terjejas paling teruk dengan penurunan 10.51%. Microsoft dan Google sahaja berjaya mengelakkan penyusutan melampau kerana tidak terlalu terjejas dengan peningkatan kos mengimport perkakasan. Ini dibantu oleh laporan Microsoft telahpun membatalkan pembinaan pusat data mereka di Amerika Syarikat.

Tarif Trump diumumkan semalam sebagai membalas “ketidakadilan” negara lain yang melakukan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Tetapi data yang dikongsi White House adalah tidak tepat dengan Malaysia dituduh mengenakan tarif 47% ke atas Amerika.

Yang berlaku sebenarnya ialah Malaysia mengeksport lebih banyak daripada mengimport produk keluaran Amerika. Ini menurut pandangan Trump adalah tidak adil kerana percaya semua perdagangan dunia haruslah dalam nisbah 1:1.

Komen