Peranti pintar Google Pixel 10 dilihat terus menjadi rahsia yang paling sukar untuk disimpan oleh syarikat tersebut, kerana butiran tertiris yang sentiasa tampil diperlihatkan hampir setiap minggu.
Terkini, Android Authority telah membongkar misteri disebalik lensa telefoto peranti Google Pixel 10. Model asas Google Pixel 10 akhirnya akan hadir dengan lensa telefoto 11MP dan menggunakan sensor Samsung 3J1. Lensa lebar dan ultra-lebar pada model Pixel 10 akan menggunakan lensa dan sensor sama yang digunakan pada peranti Google Pixel 9a.

Dalam pada itu, modul kamera Pixel 10 Pro dan 10 Pro XL akan memperlihatkan modul kamera sama yang digunakan pada peranti Google Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL.
Ia tidak mengejutkan khususnya apabila rekaan Google Pixel 10 dilihat menyerupai rekaan Google Pixel 9, dan akan menggunakan cip pemprosesan Tensor G5 yang sama, cuma dengan modul lensa telefoto baru, yang mana butirannya tidak diketahui sehingga kini.
Keputusan untuk “menaiktaraf” modul kamera Google Pixel 10 boleh dilihat sebagai sesuatu yang baik apabila ia membenarkan pengguna untuk menjadi lebih kreatif dengan pengambilan foto mereka, tetapi apabila difikirkan kembali, pada asasnya ia adalah lensa kamera Google Pixel 9a yang ditambahkan dengan lensa telefoto sahaja.
Ia menggunakan sensor-sensor kamera untuk peranti kelas mampu-milik, dan kebarangkaliannya di sini ialah seperti kebanyakan, jika tidak semua kamera peranti Google Pixel sebelum ini, mereka akan menggunakan kemampuan algoritma AI untuk menghasilkan gambar-gambar yang tajam dan warna-warna yang terang dan jitu.