Selepas Pixel 9a tertiris, ramai menjangkakan ia adalah permulaan rekaan baharu untuk generasi Pixel seterusnya. Ia membawakan rekaan rata sepenuhnya, bonggol kamera yang terus tenggelam pada panel belakang dan nampak kosong. Namun, rekaan Pixel 10 yang baru tertiris mengubah spekulasi ini.
Rekaan Pixel 10 dikatakan adalah sama sahaja dengan Pixel 9. Malah Pixel 10 dikatakan adalah sedikit lebih tebal iaitu 8.6mm berbanding 8.5mm pada Pixel 9. Kemudian, Pixel 10 turut dijangka akan dijana dengan cip Tensor G5 yang dikeluarkan oleh TSMC, yang ramai harapkan adalah iterasi cip Tensor terbaik.

Satu perubahan yang ketara adalah konfigurasi kamera, di mana palang kamera Pixel 10 dilihat memuatkan tiga sensor iaitu telefoto sebagai tambahan baharu. Ini bermakna, Google sebenarnya boleh sahaja menawarkan tri-kamera pada Pixel 9 tetapi mereka enggan. Pixel 10 dikatakan hadir dengan kod nama Frankel dan akan dilancarkan pada tahun ini. Sama-sama kita nantikan dan lihat apakah 5 peranti yang Google bakal perkenalkan tidak lama lagi.