Google I/O 2025 akan berlangsung pada bulan Mei tahun ini seperti biasa setiap tahun. Namun begitu, pelancaran Pixel A mungkin akan berlaku lebih awal berbanding biasa iaitu pada bulan Mac. Terbaru, imej pengolokan sebenar untuk semua 4 warna Pixel 9a telah tertiris.

Pixel 9a dilihat akan menawarkan pilihan warna Peony, Iris, Obsidian dan Porcelain. Ia adalah pilihan warna lebih kurang sama dengan Pixel 9 tahun lepas. Berdasarkan imej yang dikongsi oleh Android Headlines, Pixel 9a akan menggunakan rekaan hampir rata sepenuhnya. Tiada lagi penggunaan rekaan palang kamera di belakang, sebaliknya modul kamera adalah hampir tenggelam terus panel belakang.

Rekaan ini mungkin akan dibawakan ke Pixel 10 nanti. Selain itu, Pixel 9a dijangka akan mula dijual pada 19 Mac dan mungkin akan menjadi pesaing kepada iPhone SE 4. Ia mungkin menggunakan skrin OLED 120Hz 6.3-inci, dijana cip Tensor G4, menggunakan kamera 48+13 Megapixel dan menyokong kemas kini sehingga 7 tahun.
Harga jualan Pixel 9a di Malaysia dijangka adalah atas RM2,500. Jika benar, ia agak mahal berbanding peranti kelas pertengahan lain dalam kelas sama. Malah peranti mercu mampu milik mungkin lebih menarik untuk dibeli. Jika dijual nanti, adakah anda akan membeli Pixel 9a?