Carian
Jualan TikTok Dibatalkan Saat Akhir Disebabkan Tarif Trump
April 5, 2025 Effi Saharudin

TikTok diberikan sehingga 4 April untuk dijual kepada entiti milik Amerika Syarikat sekiranya ingin mengelakkan operasi diharamkan sekali lagi. Semalam Presiden Trump melanjutkan tempoh jualan selama 75 hari lagi. Menurut Reuters, tempoh ini dilanjutkan selepas pengumuman jualan yang sepatutnya dilakukan pada Rabu dibatalkan pada saat akhir disebabkan tarif yang diumumkan Trump.

TikTok

China dipercayai akan menolak sebarang urusan penjualan TikTok oleh Bytedance disebabkan tarif baharu yang diumumkan oleh Trump. Dalam pengumuman yang dilakukan beberapa hari lalu, China dikenakan tarif 34% ke atas semua produk yang diimport ke Amerika Syarikat.

Masih tidak diketahui entiti manakah yang dipilih untuk membeli TikTok. Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah Bytedance akan mengekalkan pegangan 20% sebagai bayaran penggunaan algoritma milik mereka.

Adalah dipercayai perbincangan akan dilakukan dengan China hanya akan bersetuju TikTok dijual sekiranya tarif baharu lebih rendah diumumkan oleh Trump. Antara tindakan yang telah dilakukan China selepas tarif diumumkan ialah mengukuhkan kerjasama perdagangan dengan Jepun dan Korea Selatan. Pengumuman ini mengejutkan dunia kerana ketiga-tiga negara ini kerap bertelagah mengenai isu perdagangan disebabkan sejarah lampau.

Komen