Carian
Bridgestone Perlihat Rekaan Tayar Untuk Permukaan Bulan
April 8, 2025 Effi Saharudin

Pembinaan markas kekal di permukaan bulan ini kini bukan lagi fiksyen tetapi bakal menjadi realiti dalam tempoh satu generasi sahaja lagi. Lokasi markas, sumber kuasa, kelengkapan komunikasi, sistem roket dan pengangkutan kesemuanya sedang dibangunkan serentak oleh beberapa agensi angkasa lepas kuasa besar dunia. Untuk melakukan pengembaraan di permukaan bulan, kenderaan khusus perlu dibangunkan. Bridgestone minggu ini memperlihatkan dua konsep tayar yang direka untuk digunakan di permukaan bulan.

Dua konsep dihasilkan dengan satu mementingkan rekaan ringan dan satu lagi lebih tahan lasak untuk digunakan bagi tujuan pengembaraan. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dan tidak memerlukan udara. Ini kerana permukaan bulan yang kasar membuatkan bahan lain seperti getah akan mudah terhakis. Setiap tayar direka untuk boleh digunakan sehingga 9700 kilometer sebelum perlu diganti.

Walaupun konsep tayar telah diperlihatkan, tidak diketahui sama ada ia akan digunakan pada beberapa kenderaan bulan yang sedang dibangunkan. Tahun lalu NASA memilih Intuitive Machines, Lunar Outpost, dan Venturi Astrolab untuk membangunkan Kenderaan Permukaan Bulan (LTV) generasi baharu tetapi pemenang belum diumumkan. JAXA pula memilih LTV buatan Toyota juga dengan rekaan tayar tersendiri.

Komen