Lewat malam tadi Presiden Trump mengumumkan tarif baharu 104% ke atas kesemua produk yang diimport dari China ke Amerika Syarikat. Ini ialah gabungan 20% tarif yang dikenakan sebelum ini, 34% tarif yang diumumkan minggu lalu dan 50% tarif malam tadi sebagai balasan ke atas tindakan China mengenakan tarif 34% ke atas Amerika dua hari yang lalu.

Kedua-dua negara enggan duduk semeja bagi menyelesaikan isu perdagangan yang sudah berlarutan sejak Trump menjadi presiden kali pertama 8 tahun yang lalu. Pada waktu tersebut syarikat China seperti Huawei dikenakan sekatan akses teknologi menyebabkan tiada lagi sokongan Android GMS, akses kepada faundri cip TSMC dan Huawei berhenti menawarkan peranti 5G selama beberapa tahun.
Berikutan tarif baharu ke atas China semalam, pagi ini pasaran saham utama Asia meneruskan trend penurunan dengan KLSE juga turut terjejas. Sementara itu nilai saham syarikat teknologi utama seperti Apple, TSMC, NVIDIA dan Tesla juga semakin susut. Apple mencatatkan penyusutan tertinggi pagi ini -4.98% kerana rantaian bekalan produk mereka amat bergantung kepada China.