Cari @ Amanz

Trump Tangguh Tarif 90 Hari – Saham Syarikat Teknologi Naik Mendadak

Link Copied!

Tidak sampai seminggu, Presiden Trump kini mengumumkan Amerika Syarikat akan menangguh penguatkuasaan tarif baharu ke atas semua negara dunia kecuali China semalam. Menurut arahan eksekutif yang ditandatangani Khamis lalu, tarif baharu akan berkuat kuasa bermula 9 April. Tetapi lewat malam tadi ia ditangguh secara mengejut untuk negara-negara yang tidak mengenakan tarif balasan setara.

Sungguhpun tarif baharu ditangguh 90 hari, Amerika Syarikat masih akan mengekalkan tarif asas 10% ke semua negara rakan dagang. Tarif khusus untuk negara-negara yang melakukan kesalahan mengenakan tarif tinggi ke atas Amerika Syarikat juga akan diteruskan tetapi senarai negara yang terkesan belum lagi dikongsi. Malaysia ialah antara negara yang sebelum ini dituduh melakukannya walaupun MITI menafikan dakwaan Amerika Syarikat minggu ini.

Awal pagi ini pasaran saham Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan mendadak. Saham syarikat teknologi utama dunia seperti Apple, NVIDIA, Amazon, Google, TSMC dan Meta meningkat mendadak seperti pucuk yang dilancarkan.

Apple misalnya meningkat 15.33% membolehkan ia kembali menjadi syarikat dengan nilai pasaran tertinggi selepas dipintas Microsoft semalam. Pemegang saham Tesla pastinya paling gembira kerana ia meningkat hampir 23% dalam masa hanya beberapa jam selepas pengumuman dilakukan.

Pasaran saham Asia masih belum dibuka ketika artikel ditulis tetapi pastinya juga akan menerima kesan bercampur-campur bergantung kepada tarif baharu yang dikenakan. China sudah pasti menerima kesan paling negatif kerana Trump mengenakan tarif baharu 125% selepas China mengenakan tarif balasan 84% ke atas semua import Amerika semalam dengan wujud ura-ura mereka akan turut mengharamkan penayangan filem keluaran Hollywood.


Komen ()