Carian
Vivo X200 Ultra Akan Menyokong Lensa Telefoto Tambahan
April 11, 2025 Effi Saharudin

Masih ada sekitar seminggu sahaja lagi sebelum Vivo X200 Ultra dilancarkan dengan beberapa ciri yang akan disokong telah diacah. Semalam kewujudan kit fotografi disahkan sendiri oleh mereka dan kini Vivo mengesahkan pula kewujudan lensa telefoto tambahan yang boleh dipasang pada kit fotografi.

Lensa telefoto fizikal ini adalah panjang seperti lensa telefoto yang digunakan pada kamera digital sebenar. Ia akan membolehkan zum antara 3.7X hingga 8.7X dilakukan menggunakan lensa optikal sebenar dan bukannya periskop yang lazimnya digunakan pada telefon pintar. Lensa dipasang kepada kit menggunakan penyesuai khas.

Butang kawalan pada kit fotografi juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Selain butang pengatup kamera terdapat butang merakam video, laras untuk zum, tombol berputar mungkin untuk mengawal dedahan dan juga potongan sisi untuk butang kawalan kamera.

Yang menarik di sini ialah Realme memperlihatkan konsep telefon pintar yang dipadankan dengan lensa Leica di MWC Barcelona bulan lalu. Mereka mengatakan ia sekadar prototaip yang bukan untuk produk sebenar. Vivo mengambil idea yang sama dan menjadikannya produk sebenar dalam masa sebulan.

Komen