OnePlus 13T, peranti pintar kelas mercu terbaru OnePlus dijangka akan diperkenalkan di China pada bulan ini, dan nampaknya satu imej promosi peranti pintar tersebut telah diperlihatkan secara tidak sengaja di arena web.
Gambar pertama yang tertiris merupakan gambar promosi oleh OnePlus sendiri, yang memperlihatkan peranti tersebut dengan sistem kamera dwi-lensa di bahagian belakang, dengan rekaan rangka berwarna hitam kusam bernama Cloud Ink Black yang tidak jauh rupanya apabila dibandingkan dengan peranti pintar jenama lain seperti Apple iPhone dan juga Xiaomi.

Tidak lama kemudian, gambar kedua dengan rekaan warna berbeza memperlihatkan sistem kamera belakang OnePlus 13T ini dengan lebih jelas lagi. Selain daripada ini, kita juga mengetahui bahawa OnePlus 13T akan hadir dengan butang fizikal baru yang boleh diubahsuai oleh pengguna untuk digunakan sebagai pintasan mudah.

Satu lagi maklumat yang dilaporkan telah diumum sendiri oleh Presiden OnePlus China, Louis Lee yang mengatakan OnePlus 13T akan hadir dengan bateri dengan kapasiti lebih besar dari 6000mAH dan masih hadir dengan berat sekitar 185g sahaja, lebih ringan berbanding dengan peranti OnePlus 13 sebelum ini.
OnePlus dijangka akan memperkenalkan OnePlus 13T pada bulan ini, dan kebarangkaliannya akan tiba untuk pasaran China terlebih dahulu sebelum ia dijual di pasaran-pasaran lain.