Carian
AI Generatif Veo 2 Yang Menjana Video Boleh Digunakan Pelanggan Gemini Advanced Hari Ini
April 16, 2025 Effi Saharudin

Pelanggan Gemini Advanced kini boleh mengakses model kecerdasan buatan (AI) Veo 2 bermula hari ini. Menerusi Veo 2, pelanggan boleh menjana video sepanjang 8 saat pada resolusi 720p dalam nisbah 16:9 serta format MP4. Terdapat had video yang boleh dijana setiap bulan tetapi Google tidak mengatakan apakah had ini cuma notifikasi akan diterima apabila ia hampir habis.

AI generatif Veo 2 diumumkan oleh Google pada Disember tahun lalu tetapi akses dihadkan kepada pengguna tertentu sahaja dengan terdapat senarai menunggu yang panjang. Selain diakses menerusi Gemini Advanced, Veo 2 juga boleh diakses menerusi Whisk di Google Labs. Veo 2 boleh menghasilkan video yang kelihatan realistik dan juga dalam format animasi.

Untuk mengakses model, Google mengatakan pengguna hanya perlu ke menu pilihan model AI yang terletak di bucu atas kiri laman Gemini Advanced. Walaupun Google mengatakan pelanggan Gemini Advanced global boleh menggunakannya hari ini, kami tidak menemukan pilhan model Veo 2 dalam antaramuka laman web pagi ini.

Komen