Carian
Ulasan Realme 14 5G – Prestasi Gaming Boleh Tahan
April 17, 2025 Amy Maizuraa

Realme 14 telah dilancarkan di Malaysia dengan harga bermula RM1,199. Telefon ini menawarkan spesifikasi menarik dalam kelasnya, termasuk skrin AMOLED, cip Snapdragon 6 Gen 4, serta bateri berkapasiti 6000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W.

Kami berpeluang untuk membuat ulasan tentang Realme 14, dan dalam artikel ini kami membahaskan secara mendalam aspek reka bentuk, prestasi, kamera, serta ciri-ciri menarik yang ditawarkan. Teruskan membaca untuk mengetahui segala yang anda perlu tahu tentang Realme 14.


Spesifikasi Dan Penggunaan

Realme 14 5G
SkrinAMOLED, 120Hz, 2000 nits,
6.67″ (1080 x 2400 piksel)
20:9 (~395ppi)
PemprosesSnapdragon 6 Gen 4 (4 nm)
Cip1 x 2.3 GHz Cortex-A720s
3 x 2.2 GHz Cortex-A720s
4 x 1.8 GHz Cortex-A520s)
Cip GrafikAdreno
RAM8/12GB RAM
Muatan Dalaman256GB
(tiada kad mikroSD)
Kamera Utama50 MP, f/1.8, 27mm (lebar), OIS
4K@30fps, 1080p@30/60/120fps
Kamera Depan16 MP, f/2.4, 24mm (lebar)
1080p@30fps
BateriSi/C Li-Ion 6000 mAh
45W berwayar
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68/69/66
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM1,199 
RM1,299

Realme 14 mempunyai reka bentuk ringkas tetapi nampak moden dan futuristik yang menjadikannya berbeza daripada telefon lain. Sekali pandang, ia kelihatan sesuatu daripada filem fiksyen sains. Bahagian belakang telefon ini yang dikenali sebagai Mecha Design oleh Realme benar-benar menampilkan gaya tersendiri. Jika reka bentuk ini kelihatan biasa, mungkin kerana konsepnya serupa dengan Infinix menerusi model Note 20 Pro mereka. Namun perbezaannya ialah Infinix menggunakan warna hitam, manakala Realme memilih warna perak yang sesuai dengan nama Mecha Silver.

Telefon ini mempunyai reka bentuk yang rata pada bahagian tepi, hadapan dan belakang yang menjadikannya kelihatan kemas serta selesa apabila dipegang. Bagaimanapun, jika anda seorang yang banyak bergerak adalah lebih baik untuk menggunakan sarung pelindung kerana permukaannya agak licin meskipun tidak menyusahkan.

Jika anda mudah berpeluh pula, bahagian belakang telefon cenderung untuk menjadi comot malahan kadang-kadang kotoran boleh melekat. Oleh itu, anda perlu rajin membersihkannya untuk telefon sentiasa kelihatan menarik dan bersih daripada kotoran yang melekat.

Bonggol kameranya mempunyai bentuk bulat yang kemas dengan ukiran halus untuk menjadikan keseluruhan reka bentuk nampak lebih premium dan terperinci. Satu kelebihan utama adalah bonggol kamera yang tidak terlalu tinggi membolehkan telefon ini kekal stabil apabila diletakkan di atas meja atau permukaan rata tanpa kesan bergoyang yang mengganggu.

Di bahagian kanan terdapat butang kuasa berwarna oren yang memberikan sedikit elemen menonjol bagi menjadikan reka bentuknya lebih menarik Selain itu, telefon ini turut menyediakan butang laras audio untuk kemudahan penggunaan. Di bahagian atas, terdapat sensor inframerah manakala di bahagian bawah, telefon ini dilengkapi dengan port USB-C, pembesar suara dan slot kad SIM yang menjadi susunan standard tetapi tetap praktikal untuk digunakan.

Untuk pengalaman audio, Realme 14 menyokong sistem bunyi stereo dan hadir dengan tekinlogi Halo Audio. Kualiti bunyi yang dihasilkan cukup baik, jelas dan sesuai untuk penggunaan harian sama ada untuk mendengar muzik, menonton video atau sekadar bersantai. Walaupun tidak memberikan pengalaman audio yang luar biasa seperti kebanyakan telefon mercu, ia tetap mempunyai bunyi yang sedar didengari tanpa kesan yang terlalu kuat atau bingit.

Sistem imbasan cap jari di skrin pada Realme 14 turut patut diberikan pujian. Ia responsif dan lancar membolehkan pengguna membuka kunci telefon dengan mudah tanpa isu lengah masa yang ketara. Begitu juga sistem imbasan wajah yang berfungsi dengan baik, dan memberikan pengalaman yang lancar. Ia mampu mengenalpasti wajah saya dengan cepat walaupun dalam keadaan pencahayaan yang malap.

Skrin AMOLED bersaiz 6.72-inci digunakan juga menyajikan paparan yang terang bersama warna cukup bermaya. Teknologi AMOLED juga membolehkan kontras lebih tinggi serta warna lebih hidup dihasilkan. Pengalaman menonton video, bermain permua dan menggunakan aplikasi harian lebih memuaskan. Dengan kadar segar semula tinggi 120Hz dapat memastikan animasi dan pergerakan dalam skrin kelihatan lancar tanpa isu melampau.


Perkakasan Dan Perisian

Realme 14 menawarkan prestasi yang cukup baik untuk penggunaan harian. Dilengkapi dengan cip Snapdragon 6 Gen 4, ia merupakan antara peranti terawal yang menggunakan teknologi ini. Dengan 8 GB RAM, storan dalaman 256GB serta sokongan RAM Maya sehingga 14GB RAM, telefon ini mampu mengendalikan sebahagian kerja multi-tugas dengan baik sama ada untuk melayari internet, menyemak media sosial atau melakukan tugasan ringan.

Walaupun kebanyakan telefon moden sudah cukup berkuasa untuk memenuhi keperluan asas ini tetapi Realme 14 tetap memberikan pengalaman penggunaan yang lancar dan selesa. Ada sedikit lengah masa dalam situasi tertentu tetapi itu sesuatu yang biasa dan tidak memberi kesan ketara kepada keseluruhan prestasi.

Sepanjang penggunaan, Realme 14 tidak menunjukkan sebarang masalah besar. Cumanya terdapat isu di mana ujian benchmark tidak dapat dijalankan, yang berkemungkinan disebabkan oleh sekatan perisian daripada pihak pengeluar. Meskipun begitu, masalah ini dapat diselesaikan selepas kemaskini pertama yang membolehkan saya mengakses dan menjalankan ujian benchmark seperti biasa.

Seperkara yang menarik dengan Realme 14 ialah kolaborasi eksklusif dengan Mobile Legends: Bang Bang yang memberikan pengalaman lebih optimum. Sepanjang penggunaan untuk permua, prestasi telefon ini menunjukkan kelancaran yang baik tanpa gangguan ketara.

Dalam permainan Honor of Kings (HOK), peranti ini dapat mengekalkan kadar bingkai stabil sekitar 30FPS yang membolehkan sesi permainan berjalan lancar tanpa isu lengah masa yang menganggu. Manakala untuk Mobile Legends: Bang Bang dengan tetapan Ultra, telefon ini mampu mencapai di antara 90FPS hingga 120FPS terutamanya apabila GT Mode diaktifkan.

Hasilnya, pergerakan dalam permainan terasa lancar dan responsif, tanpa gangguan atau sela masa yang boleh menjejaskan pengalaman keseluruhan permainan. Satu lagi kelebihan yang tidak boleh diabaikan ialah kawalan suhu peranti. Walaupun digunakan untuk sesi permua yang panjang, Realme 14 tidak cepat panas yang menunjukkan sistem penyejukan digunakan berfungsi sebaiknya dalam memastikan prestasi kekal stabil.

Telefon ini juga menyokong pengalaman multi-tugas yang baik di mana pengguna boleh mendengar Spotify sambil bermain permua untuk menambah suasana lebih imesif. Secara keseluruhan, Realme 14 menawarkan pengalaman permua yang memuaskan terutamanya bagi mereka yang gemar bermain secara santau atau dalam sesi yang lebih panjang. Prestasi stabil, kadar bingkai tinggi, serta sistem penyejukan yang berfungsi dengan baik dapat memastikan sistem telefon berjalan dengan lancar tanpa gangguan yang ketara.

Walaupun bukan telefon yang direka untuk permua secara khusus, ia masih mampu memberikan prestasi yang bagi kebanyakan permainan popular. Pengalaman permua ini juga boleh berbeza mengikut kepada keadaan penggunaan, tetapan permainan serta kemas kini perisian daripada pihak pengeluar. Walaupun prestasi keseluruhan yang saya alami adalah baik, pengalaman ini mungkin berbeza dengan yang lain berdasarkan faktor-faktor tertentu.

AnTuTu 3D

Cip PemprosesanSkor
Snapdragon 6 Gen 4763,258
Snapdragon 7 Gen 31,524,100
Snapdragon 7s Gen 3788,110
Mediatek Dimensity 8400 Ultra686,014
Mediatek Dimensity 8350115,0560

Geekbench 6

Cip PemprosesanSkor
Snapdragon 6 Gen 41106/3080
Snapdragon 7 Gen 31137/3130
Snapdragon 7s Gen 31146/3123
Mediatek Dimensity 8400 Ultra1026/2936
Mediatek Dimensity 83501319/4143

3DMark Wildlife Extreme

Cip PemprosesanSkor
Snapdragon 6 Gen 43,753
Snapdragon 7 Gen 35,334
Snapdragon 7s Gen 31,037
Mediatek Dimensity 8400 Ultra850
Mediatek Dimensity 83502880

Realme 14 hadir dengan perisian RealmeUI 6.0 sama seperti kebanyakan telefon terkini Realme. Antaramukanya direka dengan ringkas tetapi memberikan pengalaman penggunaan yang lancar. Susunan dan proses navigasi yang mudah difahami menjadikan ia mesra pengguna, terutamanya mereka yang biasa dengan ColorOS Oppo kerana kedua-duanya berkongsi elemen reka bentuk yang sama.

RealmeUI 6.0 turut menampilkan beberapa ciri AI yang menarik dan berguna. Antaranya ialah AI Smart Loop 2.0 yang membolehkan pengguna berkongsi gambar atau mencari maklumat dengan lebih mudah. Hanya perlu menyeret gambar ke aplikasi seperti Instragram, Facebook atau Google Search, kemudian ia akan terus dikongsikan tanpa memerlukan langkah tambahan yang rumit. Bagi mereka yang pernah mencuba Magic Portal pada telefon Honor, AI Smat Loop 2,0 memberikan pengalaman yang hampir sama.

Terdapat AI Recording Summary yang membolehkan pengguna mendapatkan ringkasan rakaman dengan cepat, sesuai untuk mereka yang sering mengambil nota suara atau melakukan rakaman penting. Tidak ketinggalan, Circle to Search yang menjadikan proses carian maklumat lebih pantas dan mudah dengan beberapa gerakan mudah sahaja.

Realme 14 turut hadir dengan ciri Live Alerts yang memberikan pengalaman notifikasi secara langsung, mirip dengan sistem notifikasi pada telefon Oppo. Ciri ini amat berguna kerana membolehkan pengguna menerima kemas kini secara real-time sama ada untuk tempahan ride-hailing, penghantaran makanan, pemasa atau rakaman audio. Notifikasi ini boleh muncul melalui paparan sentiasa hidup (AOD) yang memudahkan pengguna mengetahui status semasa tanpa perlu membuka aplikasi terlibat secara manual.

Seperti kebanyakan sistem android, Realme UI 6.0 juga masih menghadapi masalah aplikasi gendut termasuk aplikasi seperti Hot Apps, Realme Pay dan HeyTap Cloud. Tidak semua pengguna kan memerlukan aplikasi ini, tetapi jika ia dirasakan tidak sesuai atau menganggu, maka aplikasi itu boleh sahaja dibuang secara manual.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Dari segi kamera, Realme 14 hadir dengan sensor utama 50MP OIS, dan menyokong video sehingga 40K/30FPS yang membolehkan video berkualiti tinggi bersama pergerakan yang lancar dirakam sebaiknya. Untuk kamera hadapan, telefon ini dilengkapi dengan sensor 16MP yang cukup baik untuk swafoto dan panggilan video.

Antaramuka kamera direka dengan ringkas menyerupai UI pada telefon peranti lain. Semua ciri utama dapat digunakan dengan baik tanpa perlu banyak langkah tambahan untuk mengakses mod atau tetapan tertentu. Antara ciri fotografi menarik yang ditawarkan termasuklah AI Snap Mode yang membolehkan saya menangkap gambar secara burst untuk mendapatkan hasil terbaik.

Seterusnya penstabilan video terbina menyediakan hasil rakaman lebih stabil dan lancar terutamanya ketika merakam dalam keadaan bergerak. AI Eraser pula memudahkan saya untuk memadam objek yang tidak diingini dalam gambar tanpa perlu bergantung pada aplikasi pihak ketiga.

AI Face Clear direka untuk meningkatkan kejelasan wajah dalam gambar tetapi hasilnya mungkin berbeza bergantung kepada pencahayaan dan jenis gambar. Dalam sesetengah keadaan, kesannya boleh kelihatan kurang semula jadi, justeru saya lebih memilih untuk menggunakan mod biasa sahaja jika hasil AI tidak memenuhi jangkaan.

Bagaimanapun, ciri-ciri berasaskan AI tadi memerlukan sambungan internet untuk berfungsi. Saya juga perasan Realme 14 turut membawa beberapa ciri menarik yang diinspirasikan daripada siri Oppo Reno terkini. Salah satunya ialah Underwater Mode yang sesuai untuk rakaman bawah air, dan membolehkan pengguna merakam gambar atau video dengan jelas tanpa perlu bergantung kepada aksesori tambahan. Kamera telefon ini juga hadir dengan penuras filem seperti CC, NH dan Emerald yang menjadikan hasil tangkapan lebih unik.

Walaupun Realme 14 tidak mempunyai kamera ultrawide sebenarnya Panorama Mode boleh menjadi alternatif yang baik untuk tangkapan bersudut luas. Kadang kala kekurangan ciri tertentu boleh mendorong pengguna untuk lebih kreatif dalam menghasilkan gambar yang berkualiti.


Bateri Dan Sistem Pengecasan

Bateri Realme 14 menjadi salah satu kelebihan utama telefon ini. Dengan kapasiti 6000mAh, ia mampu bertahan lebih daripada sehari dengan penggunaan biasa. Berdasarkan pengalaman, selepas SOT sekitar 17 jam 43 minit masih berbaki bateri sebanyak 25% meskipun digunakan untuk binge-watch Netflix, merakam gambar dan video raya, bermain permua dan menatal Instagram tanpa masalah.

Bagi penggunaan yang lebih intensif, SOT boleh bertahan sekitar 10 jam yang masih baik untuk penggunaan berat. Dari segi pengecasan, telefon ini hadir dengan pengecasan 44W dalam kotak yang membolehkan ia dicas dengan pantas. Realme 14 tidak menyokong pengecasan nirwayar.


Pesaing

Vivo V50 5GNothing Phone (3a) ProVivo V50 5G
6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, 2000 nits 6.77″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, 3000 nits6.77″ AMOLED HDR10+
120Hz, 1300 nits
Snapdragon 6 Gen 4 (4 nm)
1 x 2.3 GHz Cortex-A720s
3 x 2.2 GHz Cortex-A720s
4 x 1.8 GHz Cortex-A520s)
Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
1×2.5 GHz Cortex-A720
3×2.4 GHz Cortex-A720
4×1.8 GHz Cortex-A720
Snapdragon 7 Gen 3 (4 nm)
1×2.63 GHz Cortex-A715
3×2.4 GHz Cortex-A715
4×1.8 GHz Cortex-A510
AdrenoAdreno 810Adreno 720
8/12GB RAM12GB RAM12GB RAM
256GB256GB256GB
Kamera Utama
50 MP, (lebar), OIS
Kamera Utama
50MP (Lebar), OIS + EIS
50MP (Telefoto), OIS
8MP (Ultra Lebar),
TrueLens Engine 3.0
Kamera Utama
50MP (lebar), OIS
50 MP (ultra-lebar)
ZEISS Camera
Kamera Hadapan
16 MP
Kamera Hadapan
32 MP
Kamera Hadapan
50 MP
IP68/69/66/67IP64IP68/69
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
Si/C Li-Ion 6000 mAh
45W berwayar
5,000 mAh
Berwayar 50W
6000 mAh
Berwayar 90W
RM1,199 
RM1,299
RM1,699RM 1,999
RM 2,399

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :

  • 1 x Realme 14 5G.
  • 1 x Kepala Pengecas 45W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Realme 14 mempunyai tarikan tersendiri dengan reka bentuk futuristik yang menampilkan gaya moden dan elegan. Dari segi prestasi, ia cukup versatile untuk pelbagai keperluan sama ada multi-tugas, permua atau penggunaan harian yang aktif. Gabungan cip Snapdragon 6 Gen 4, skrin AMOLED, bateri 6000mAh serta pelbagai ciri berasaskan AI menarik menjadikan telefon ini pilihan yang seimbang dalam kelasnya.

Walaupun terdapat beberapa kekurangan kecil seperti ketiadaan pengecasan nirwayar, dan kamera ultra-lebar, telefon masih mampu menawarkan pakej yag baik bagi mereka yang mahukan keseimbangan di antara reka bentuk, prestasi dan ciri pintar. Ia juga sesuai untuk mereka yang mahukan pengalaman penggunaan lancar dan praktikal tanpa perlu berbelanja besar untuk telefon mercu di pasaran.

Pro

  • Reka bentuk futuristic Mecha Design
  • Skrin AMOLED yang terang dan bermaya.
  • Bateri 6000mAh yang tahan lama.
  • Cip Snapdragon 6 Gen 4 dengan prestasi lancar.
  • Sistem audio stereo dengan Halo Audio.
  • Pengecasan pantas berwayar.

Kontra

  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Tiada kamera ultra-lebar.
  • Aplikasi gendut dalam RealmeUI 6.0
Komen